
Ini sekali gus memendekkan tempoh penggal kedua perkhidmatannya dalam agensi pengawal seliaan serta penguatkuasaan pusat perniagaan dan perkhidmatan kewangan antarabangsa di wilayah itu.
Peletakan jawatan beliau berkuat kuasa pada 9 April lalu dan disusuli dengan tindakan sama oleh pengerusi, Azizan Abdul Rahman hari ini.
Labuan FSA merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan dan bertanggungjawab bagi pembangunan serta pentadbiran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
Dalam makluman ringkas yang diedarkan kepada kalangan penggiat industri menerusi ahli persatuan berkaitan, Labuan FSA menyatakan bahawa Timbalan Ketua Pengarah Iskandar Mohd Nuli akan memangku tugas berkenaan sepanjang tempoh interim sehingga pelantikan baharu.
Pihak Labuan FSA juga memberi jaminan bahawa operasi harian agensi itu tidak terjejas dan akan terus memberi khidmat kepada industri.
Makluman tersebut diedarkan kepada Persatuan Bank-Bank Labuan, Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah, Persatuan Insurans Antarabangsa Labuan, Labuan Investment Banks Group dan Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan.
Mah adalah antara perintis Labuan FSA (sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir atau LOFSA) sejak 1997 dan dilantik sebagai timbalan ketua pengarah, seterusnya ketua pengarah pada 2017 untuk tiga penggal sehingga 2020 yang dilanjutkan lagi selama tiga penggal.
Azizan pula pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah Labuan FSA (bersara pada 2011) dan dilantik sebagai pengerusi bagi tempoh 1 Nov 2020 hingga 31 Okt 2023.