Kerajaan teguh prasyarat politik stabil, ekonomi kukuh, kata Agong

Kerajaan teguh prasyarat politik stabil, ekonomi kukuh, kata Agong

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kestabilan politik sangat penting untuk menarik pelabur domestik dan asing dalam usaha merangsang pemulihan ekonomi.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu ahli politik bekerjasama memerangi penularan Covid-19, selain memfokus dan menunaikan amanah dalam membantu rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong berkata, kerajaan teguh ialah prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara berkata, kestabilan politik sangat penting untuk menarik pelabur domestik dan asing dalam usaha merangsang pemulihan ekonomi ketika negara serta rakyat masih bergelut dengan penularan Covid-19.

Oleh itu, baginda berkata, keutamaan sepanjang tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini ialah melawan Covid-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi menerusi inisiatif seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Agong mahu ahli politik bekerjasama memerangi penularan pandemik itu, selain memfokus dan menunaikan amanah dalam membantu rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Ahli politik, katanya, ialah model peranan kepada rakyat dari segi penyatuan dan mengurus tadbir negara dengan baik.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti,” katanya dipetik Bernama.

Sultan Abdullah turut memberi jaminan sistem pilihan raya berparlimen bawah pentadbiran raja berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.