23 kumpulan desak lelaki dibebas dari pusat imigresen

23 kumpulan desak lelaki dibebas dari pusat imigresen

Simon Adavize Momoh dipenjara sehari atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan dipindah ke pusat tahanan imigresen sejak 15 Mac.

Simon Momoh, lelaki Nigeria yang berkahwin dengan warga Malaysia, ditahan imigresen sejak 15 Mac lalu. (Gambar Low Kar Hui)
PETALING JAYA:
Hampir 24 persatuan mendesak pembebasan Simon Adavize Momoh, lelaki Nigeria yang berkahwin dengan warga Malaysia, yang dalam penahanan imigresen sejak 15 Mac lalu selepas dipenjara sehari dan membayar denda atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol.

Organisasi itu berkata, penahanan berterusan itu ialah pelanggaran terhadap hak asasinya.

Oleh itu, mereka berkata, pihak berkuasa perlu membebaskan lelaki itu segera, khasnya ketika Malaysia dalam usaha menyertai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk penggal 2022 hingga 2024.

Dalam kenyataan dikeluarkan kumpulan Family Frontiers, yang diluluskan 23 persatuan dan 19 individu berkata: “Ketidakpastian timbul apabila visa sah masih boleh menyebabkan seseorang itu ditahan dan mungkin dihantar pulang walaupun selepas mereka selesai menjalani hukuman atas kesalahan bukan imigresen.”

Momoh, berkahwin dengan wanita Malaysia dan mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang untuk pasangan, ditahan dalam sekatan jalan di Cheras pada 15 Mac kerana disyaki memandu bawah pengaruh alkohol.

Dia mengaku bersalah pada hari sama dan dijatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM12,000.

Lelaki itu membayar denda berkenaan dan isterinya, Low Kar Hui, dimaklumkan suaminya akan dibebaskan selepas menjalani hukuman.

Bagaimanapun, lelaki itu dibawa ke Penjara Kajang sebelum dipindahkan ke Pusat Tahanan Imigresen Semenyih. Dia tidak dapat berhubung dengan keluarganya hampir sebulan.

Organisasi itu menyuarakan kebimbangan terhadap tempoh penantian lama untuk membuat temu janji dengan Jabatan Imigresen dan banyak pasangan asing bimbang mereka akan menerima hukuman berat jika visa tamat tempoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.