Warga emas temui ajal diseret 3km bersama motosikal

Warga emas temui ajal diseret 3km bersama motosikal

Mangsa diseret bersama motosikal sejauh tiga kilometer sebelum jatuh di atas jalan.

Mangsa maut selepas dirempuh ketika cuba memasuki simpang di kanan jalan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya diseret sejauh tiga kilometer oleh sebuah Nissan Frontier dalam kejadian di Kilometer 10, Jalan Jerantut-Temerloh, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Yusri Othman, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Abu Samah @ Mohd Tahir Singah, 80, sedang menunggang motosikal seorang diri dari arah Jerantut menuju ke arah Temerloh.

Setiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai membelok untuk memasuki simpang di sebelah kanan sebelum dirempuh Nissan Frontier yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa diseret bersama motosikal sejauh 3km sebelum jatuh di atas jalan,” kata Mohd Yusri dipetik dari Berita Harian.

Akibat rempuhan dan diseret, mangsa yang tinggal di Kampung Tan Sri Yahya Songsang, Temerloh serta tidak bekerja dilaporkan maut di tempat kejadian dengan kecederaan parah pada sebelah kiri muka, bahu kiri dan patah tulang rusuk.

Kereta Nissan Frontier terbabit yang dipandu lelaki warga Indonesia yang tinggal di Kampung Paya Keladan dan dinaiki bersama dua penumpang Bangladesh, kemek di bahagian hadapan sebelah kanan manakala motosikal mangsa kemek pada sisi kiri.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSHAS), Temerloh, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.