Wanita dilarikan penjenayah nekad terjun kereta selamatkan diri

Wanita dilarikan penjenayah nekad terjun kereta selamatkan diri

Kejadian berlaku pada 7.30 malam apabila mangsa baru selesai membeli barangan di kedai serbaneka sebelum memasuki kenderaannya.

Mangsa berusia 60 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas kira-kira sejam.
KOTA KINABALU:
Seorang wanita menempuh detik cemas apabila dilarikan dua penjenayah yang menyamunnya dalam kejadian di Cyber City, kelmarin.

Mangsa berusia 60 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas bertindak nekad terjun dari kenderaannya.

Kejadian berlaku pada 7.30 malam apabila mangsa baru selesai membeli barangan di kedai serbaneka sebelum memasuki kenderaan.

Bagaimanapun, seorang lelaki tiba-tiba masuk dari pintu belakang kereta lalu mengarahkan mangsa berpindah ke tempat duduk belakang, manakala seorang lagi lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kenderaan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman, berkata semasa berada dalam kenderaan, mangsa dipaksa duduk secara menunduk sepanjang jalan.

Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai selain barang kemas dipakainya.

“Mangsa yang bimbang keselamatannya terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek. Mangsa mendakwa, selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana sakit belakang,” katanya ketika dihubungi.

George berkata, sebaik dibenarkan duduk, mangsa mengambil keputusan membuka pintu lalu terjun dari kenderaannya.

Katanya, mangsa diselamatkan orang ramai di lokasi sebelum dibawa membuat laporan polis.

“Mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya, dan tidak mengalami kecederaan. Jumlah kerugian dianggarkan RM17,000,” katanya.

George berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Ahmar Zulfairie Ismail di 013 2618487.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.