
Peguam, A Srimurugan, berkata setiap orang yang didakwa di mahkamah perlu mendapat hak dua kali (peringkat) rayuan ke mahkamah atasan, dan mereka yang pertuduhannya membawa hukuman penjara mandatori juga perlu diberi hak untuk dua kali rayuan.
Bagaimanapun, seorang lagi peguam, KA Ramu, menyarankan kes memandu secara melulu dan berbahaya didengar di Mahkamah Sesyen supaya tertuduh kemudian dapat memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
“Ia sama seperti kes rogol atau rasuah yang datang dari Mahkamah Sesyen dan berakhir di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Minggu lalu, Muhammad Mustaqim Khairudin diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk menjalani hukuman penjara dua tahun mandatori kerana memandu secara berbahaya dan melulu menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, empat tahun lalu.
Dia memohon kebenaran untuk (memfailkan) rayuan, tetapi mahkamah menolak permohonannya kerana dia tidak membangkitkan persoalan undang-undang dan mengeluarkan waran komital terhadap Mustaqim, untuk memulakan hukuman penjara.
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM6,000 kerana menyebabkan kematian Akmal Azrizal Anour, 17.
Srimurugan berkata Parlimen dan mahkamah juga perlu mengkaji keperluan kebenaran kerana majistret hari ini menangani kes-kes yang rumit yang membolehkan mereka menjatuhkan hukuman penjara mandatori dan denda lebih berat.
“Bidang kuasa majistret jenayah telah diperluas sementara Parlimen sudah mengeluarkan undang-undang yang lebih keras untuk menghukum pesalah tidak seperti 50 tahun yang lalu,” katanya.
Beliau berkata rayuan ke Mahkamah Rayuan yang berasal dari Mahkamah Majistret sepatutnya tidak boleh terhad kepada persoalan undang-undang tetapi penemuan fakta.