
Georgetown: Bayi lelaki masih bertali pusat dan dibalut tuala hijau ditemukan bersama nota “Tolong jaga budak ini”, di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui oleh lelaki berusia 43 tahun ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan pada 7.40 malam.
Katanya, ketika membuka pintu utama berhampiran pagar persatuan, lelaki terbabit terlihat sesuatu yang dibaluti dengan tuala hijau dan ditinggalkan di jalan.
“Ketika ditemukan, bayi berkenaan tidak menangis dan dalam keadaan baik sebelum membawa bayi itu masuk ke dalam persatuan bagi dipakaikan lampin dan pakaian.
“Rakan lelaki berkenaan yang ada di persatuan itu juga turut memberi susu formula kepada bayi terbabit,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Soffian berkata, bayi itu kemudian dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan mengalami jaundis.
“Kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian namun terdapat satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019 4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 019 5641822 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.