KAPB nafi beli 51% saham Menara TRX

KAPB nafi beli 51% saham Menara TRX

Koperasi pelaburan itu berkata ia cuma mempunyai pilihan untuk membeli saham berkenaan tertakluk kepada izin kementerian kewangan.

Koperasi Amanah Pelaburan Bhd berkata media telah dimaklumkan “secara tidak sengaja” mengenai pembelian saham, Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) menjelaskan, ia tidak membeli 51% saham dalam Menara 106 di Tun Razak Exchange (TRX) dengan menyifatkan pendedahan perkara itu sebelum ini sebagai “salah komunikasi”.

Dalam kenyataan kepada FMT, KAPB berkata ia “tidak sengaja memaklumkan” media pada Jumaat mengenai pembelian saham dalam projek pembangunan itu.

Ketika itu, Pengerusi KAPB, Ilyas Mohamed, mengesahkan pembelian saham sebanyak 51% dalam Pembangunan Harta Mulia yang membangunkan Exchange 106, dengan berkata perjanjian ditandatangani lebih setahun lalu namun butirannya akan dimuktamadkan pada Jun.

Katanya, saham itu dibeli daripada Kementerian Kewangan dan Kumpulan Mulia. Walaupun tidak mendedahkan jumlah terlibat dalam pengambilalihan pegangan itu, Ilyas menyifatkannya sebagai “perjanjian yang luar biasa.”

Ini mencetuskan pertikaian daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, susulan kekurangan butiran mengenai pengambilalihan terhadap pegangan Kementerian Kewangan dalam projek pembangunan itu.

Hari ini, KAPB menjelaskan syarikat gabungan, AP Holding Berhad memasuki perjanjian dengan Kumpulan Mulia mengenai perkongsian strategik yang turut merangkumi pilihan untuk memperoleh pegangan dalam Exchange 106, tertakluk kepada izin Kementerian Kewangan.

“Pada peringkat ini, kami mengesahkan tidak berlaku pembelian saham dalam Exchange 106, malah tiada juga keperluan untuk memasuki perjanjian dengan Kementerian Kewangan dan/atau syarikat gabungannya berkait dengan Exchange 106.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.