Kementerian masih miliki 51% pegangan Menara TRX

Kementerian masih miliki 51% pegangan Menara TRX

Kementerian Kewangan mengulas laporan bahawa ia telah menjual pegangannya dalam syarikat pemaju Menara Exchange 106.

Menara Exchange 106 terletak di Tun Razak Exchange di ibu negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan masih pemegang majoriti dalam syarikat yang membangunkan Menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX).

Ini susulan penjelasan koperasi pelaburan bahawa ia tidak membeli pegangan dalam syarikat berkenaan, Pembangunan Harta Mulia Sdn Bhd daripada kementerian terbabit.

Dalam kenyataan, kementerian berkata ia tetap pemegang majoriti dalam projek itu menerusi MKD Signature Sdn Bhd (MSSB), yang masih pemegang saham utama Pembangunan Harta Mulia.

“Tiada perjanjian mengenai penjualan saham itu kepada mana-mana pihak.

“Penjualan saham MSSB dalam Pembangunan Harta Mulia tertakluk kepada perjanjian jual beli dan perjanjian pemegang saham pada 2017.”

Di bawah perjanjian berkenaan Kumpulan Mulia mempunyai hak untuk opsyen beli bagi saham berkenaan pada harga yang dipersetujui selepas melunaskan hutang diberikan MSSB.

Terdahulu, Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) berkata ia telah “tidak sengaja memaklumkan” media mengenai pembelian saham dalam projek pembangunan itu.

Ketika itu, Pengerusi KAPB Ilyas Mohamed telah berkata pegangan berkenaan dibeli daripada kementerian kewangan dan Kumpulan Mulia.

KAPB hari ini menjelaskan syarikat gabungan, AP Holding Berhad telah memasuki perjanjian dengan Kumpulan Mulia berhubung perkongsian strategik yang turut merangkumi pilihan untuk memperoleh pegangan dalam Exchange 106, tertakluk kepada izin kementerian kewangan.

Bagaimanapun, tiada saham diperoleh setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.