Walaupun sedang berkembang pesat, bukan mudah ceburi e-dagang, kata penggiat industri

Walaupun sedang berkembang pesat, bukan mudah ceburi e-dagang, kata penggiat industri

Menurut BNM, hasil jualan dalam talian berganda sepanjang tahun lalu, apabila lebih ramai pengguna 'menyerbu' perniagaan dalam talian sewaktu sekatan pergerakan.

PETALING JAYA:
Walaupun dengan wabak Covid-19 berperanan sebagai pemangkin lonjakan jualan dan aktiviti, usahawan baharu memberi peringatan bahawa memulakan perniagaan dalam talian datang dengan cabaran yang sama seperti usaha lain.

Tahun lalu, hasil jualan e-dagang dianggarkan hampir RM16 bilion. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini berkata, jualan melonjak dua kali ganda sejak wabak bermula.

“Walaupun (hasil) jualan runcit dalam talian masih cukup kecil, iaitu bawah 10% daripada jumlah hasil jualan runcit, ia dijangka meningkat lebih tinggi apabila pengguna beralih dengan pantas ke arah perbelanjaan dalam talian, yang mendorong lebih banyak PKS (perusahaan kecil dan sederhana) bertumpu ke arah e-dagang,” kata beliau pada pelancaran laporan tahunan BNM 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Reint Monster, sebuah syarikat teknologi kewangan tempatan, Amanda Chin, bercakap dengan FMT mengenai peluang besar bagi usahawan yang baharu bertapak dalam sektor yang sedang berkembang pesat ini, tetapi kata beliau, mereka harus tetap berwaspada sama seperti apabila mereka menceburi bidang perniagaan yang lain.

“Ambil masa untuk buat persediaan sebaiknya sebelum menceburi bidang perniagaan dalam talian. Semestinya potensinya tinggi dan halangan (untuk menceburinya) tidak begitu banyak, ini boleh menarik minat (seseorang) untuk terus ‘terjun’. Tetapi di situlah kebanyakan perniagaan gagal,” kata beliau.

Walaupun semakin mudah untuk memulakan perniagaan dalam talian, dengan lebih banyak perkhidmatan wujud untuk membantu individu menubuhkan ‘kedai’ dalam talian, menguruskan transaksi, dan menjalankan jualan secara langsung, kata Chin, ini tidak bermaksud ia akan berjaya, dan akan menjadi lebih mudah berbanding perniagaan biasa.

“Bagi membina jenama dalam talian yang berjaya, ada banyak halangan, sama ada dari segi membina dan mengembangkan halaman jenama yang menarik dalam talian, mendapatkan jualan atau menguruskan pembayaran dan kewangan dari situ.

“Inilah sebab mengapa banyak perniagaan dalam talian gagal. (Usahawan) mungkin ada banyak idea bagus, dan memang mudah untuk mula meniaga dalam talian, tetapi lengkung kesukarannya sangat curam,” kata beliau.

Selain merebut perhatian dalam industri yang sudah sesak dengan jenama terkenal, kata Chin, ada juga aspek peruncitan tradisional yang perlu dipertimbangkan.

“Ada pengurusan inventori dan pesanan, memastikan lejer seimbang, mengesan dan mengesahkan semua pembayaran dan banyak lagi. Ramai usahawan dalam talian ketika ini bermula dengan idea atau pendekatan produk yang baharu tetapi mereka tidak ada banyak pengalaman dengan aspek-aspek yang lebih teknikal ini,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, Chin berkata, usahawan yang bersemangat tidak patut putus asa kerana, walaupun terdapat banyak potensi untuk gagal, wujud sejumlah perkhidmatan dalam talian yang boleh membantu meringankan beban memulakan perniagaan dalam talian.

Beliau menjangkakan sektor ini berkembang kukuh walaupun wabak sudah reda, dan perniagaan fizikal menjadi lebih praktikal. Kata beliau, walaupun keadaan sudah kembali normal nanti, risiko untuk tersingkir daripada pasaran adalah rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.