Sarawak sebagai ‘wilayah’, buat masa ini hanya lisan, kata peguam

Sarawak sebagai ‘wilayah’, buat masa ini hanya lisan, kata peguam

Mereka menyatakan Sabah dan Sarawak akan kekal sebagai negeri, melainkan Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Muhyiddin Yassin dan Abang Johari Openg menghadiri sesi ‘town hall’ Wawasan Kemakmuran Bersama. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Peguam menepis kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai hak Sarawak untuk status ‘wilayah’ sebagai tidak penting kepada kemahuan negeri Borneo itu untuk mengembalikan hak mereka.

Sekadar lisan tidak akan mengubah apa-apa, kata Lim Heng Choo dan Simon Siah, yang kedua-duanya berpangkalan di Sarawak.

Mereka menyatakan Sabah dan Sarawak masih tersenarai dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai dua daripada 13 negeri Malaysia.

Untuk mengiktiraf Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah Malaysia, Lim berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dimasukkan ke dalam Perkara 160 (2) perlembagaan.

“Selepas pindaan dibuat, ini juga bermaksud bahawa belanjawan negara tahunan perlu dibahagikan sama rata kepada tiga wilayah, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, Perkara 160(2) merujuk kepada persekutuan yang ditubuhkan bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan bukannya MA63.

Minggu lalu, Muhyiddin semasa lawatannya ke Kuching, berkata beliau mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, bukan hanya negeri.

Namun, beliau juga berkata kerajaan beliau mungkin tidak dapat memenuhi permintaan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk meminda Perkara 160(2) kerana ia hanya boleh dilakukan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Siah berkata, ia memerlukan banyak pindaan terhadap Perlembagaan untuk mengiktiraf Sarawak secara sah sebagai wilayah Malaysia.

Sambil menyatakan Sarawak dan Sabah hanya mempunyai sekitar satu per empat kerusi Dewan Rakyat, beliau berkata meminda perlembagaan akan memerlukan sokongan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan di semenanjung.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Hamzah baru-baru ini juga bercakap mengenai pindaan perlembagaan, tetapi katanya, beliau menyokong kenyataan Muhyiddin itu.

Karim juga merupakan seorang peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.