Kerajaan sabotaj kepentingan negara, kata Tok Mat berhubung kehilangan projek dasar laut

Kerajaan sabotaj kepentingan negara, kata Tok Mat berhubung kehilangan projek dasar laut

Timbalan presiden Umno itu berkata, kerajaan menghalau syarikat berteknologi besar ke negara lain dengan kelebihan lebih sedikit.

Mohamad Hasan berkata, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding negara lain untuk menggalakkan gergasi teknologi memasang kabel dasar laut.
PETALING JAYA:
Cara kerajaan menangani isu kabotaj mungkin menyebabkan negara menjadi bahan gurauan antarabangsa, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Katanya, jika kerajaan tidak mempunyai kemampuan untuk berpandangan jauh, ia sepatutnya mendengar pendapat pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada perjanjian bernilai berbilion ringgit.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding negara lain untuk menggalakkan gergasi teknologi memasang kabel dasar laut.

“(Kita mempunyai) rangkaian jalan yang dihubung dengan baik, geografi kecil tetapi terletak di lokasi strategik, serta modal insan.

“Tetapi, kita nampaknya dengan mudah menghalau teknologi besar yang berpotensi, ke negara dengan kelebihan lebih sedikit daripada kita. Kenapa?” soalnya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Malaysia Internet Exchange (MyIX) mengkritik dasar kabotaj negara kerana kabel baharu dasar laut yang menghubungkan Amerika Syarikat ke Singapura dan Indonesia, diumumkan Facebook serta Google, adalah kerugian besar buat Malaysia. Laporan itu dikongsi bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook di media sosial.

Pengecualian kabotaj diluluskan kerajaan Pakatan Harapan yang membenarkan kapal berdaftar di negara lain melakukan kerja membaiki kabel dasar laut di perairan Malaysia. Namun, ia dibatalkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada 15 Nov 2020.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata nampaknya ada banyak perdebatan mengenai pengecualian dasar kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut yang dibatalkan kerajaan semasa.

Katanya, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Rais Hussin, yang juga ahli PPBM, sudah menjelaskan kesulitan tidak diduga daripada agenda kerajaan itu.

“Kita tinggal di dunia tanpa sempadan dan persekitaran saling terhubung. Jika kita tiada tawaran teknologi tinggi kepada dunia, pilihan terbaik seterusnya ialah menarik syarikat berteknologi besar menjadikan Malaysia hab serantau.”

Katanya, dasar bersifat perlindungan dan birokrasi yang berpunca daripada nepotisme serta kronisme sudah ketinggalan zaman.

“Kita perlu mencipta dan mendidik diri semula untuk bersaing di sempadan terbuka atau kita akan gagal sebagai sebuah negara.”

Malaysia, katanya, mungkin menjadi “bahan gurauan antarabangsa” disebabkan cara kerajaan menangani hal ehwal dalaman dan luar negaranya.

“Di tahap ini, rakyat dan negara akan menuju laluan gelap lebih cepat berbanding kemudian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.