Teruskan keberanian kamu, Tok Mat puji Akmal

Teruskan keberanian kamu, Tok Mat puji Akmal

Umno mengharapkan Pemuda untuk menjadi lantang, meskipun ia sering mengundang kritikan, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh diberi penghormatan oleh kepimpinan Umno pada perasmian perhimpunan sayap malam tadi.
PETALING JAYA:
Kepimpinan Umno malam ini memberikan penghormatan kepada keberanian sayap Pemuda, terutama ketuanya, Dr Akmal Saleh.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan, ketika merasmikan perhimpunan agung sayap-sayap parti, meminta Akmal bangun di tengah-tengah lautan Pemuda lalu berkata: “Akmal, teruskan keberanian kamu”.

Pertunjukan itu disambut tepukan gemuruh para perwakilan, dengan Mohamad mengingatkan bahawa Pemuda perlu berani memainkan peranan sebagai pemantau dan pendesak dalam kerajaan, terutama menyanggah dasar yang merugikan orang Melayu atau menekan rakyat.

Mohamad, yang mesra dikenali sebagai Tok Mat, berkata peranan itu sememangnya menjadi tugas Pemuda, meskipun kelantangan sering mengundang kritikan.

“Saya tahu Akmal dan Pemuda telah menjeritkan isu rakyat dalam konvensyen Pemuda baru-baru ini. Ada pihak kata Pemuda biadab. Bagi saya, tidak,” tegasnya, ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025 di Dewan Merdeka, malam tadi.

Tegasnya, Pemuda harus menjadi pihak terawal yang menyanggah sekiranya terdapat dasar kerajaan yang merugikan orang Melayu atau menekan rakyat.

“Tugas Pemuda memang pembingit dan ‘rebellious’. Tugas Pemuda menjadi ‘loceng kecemasan’,” katanya.

Mohamad juga menggesa Pemuda merampas naratif ‘hero rakyat’ daripada pembangkang, dengan membuktikan keberkesanan mereka dalam memperjuangkan isu rakyat.

“Buktikan Pemuda Umno lah yang paling efektif menjaga Melayu, bukan mereka yang hanya pandai main sentimen,” katanya.

Mohamad meminta Pemuda supaya terus menunjukkan keberanian, sambil menekankan pendekatan berhemah.

“Teruskan keberanian kamu, tapi jadilah ‘pembangkang’ konstruktif dari dalam kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.