Penduduk Bangsar bantah perobohan selagi tiada laporan geoteknologi

Penduduk Bangsar bantah perobohan selagi tiada laporan geoteknologi

Tinjauan FMT mendapati jaring keselamatan pembinaan telah dipasang di sekitar rumah kosong di Jalan Abdullah.

KUALA LUMPUR:
Penduduk Jalan Abdullah di Bangsar menyuarakan rasa bingung dan jengkel setelah mendapati kerja meroboh telah dimulakan di tiga lot tanah di mana projek pangsapuri setinggi 30 tingkat dicadangkan untuk dibina.

Penduduk berkata kerja-kerja sepatutnya tidak boleh dilakukan di situ kerana laporan geoteknik baharu masih belum siap.

Kerja-kerja meroboh itu berlaku hanya dua minggu setelah penduduk dan Gabungan Selamatkan KL (SKL) menemui wakil pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa pihak lain di pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Penduduk, T Ksharmini berkata dia terkejut apabila menyedari sudah ada pekerja yang datang mencabut jubin di salah satu rumah kosong berkenaan, Sabtu lalu. Pekerja kemudian mula merobohkan dinding rumah itu pada Isnin.

Dia memberitahu FMT, beberapa penduduk telah membuat aduan kepada jabatan kawalan bangunan DBKL pada Selasa. Pekerja dipercayai berhenti merobohkan dinding pada Khamis.

Tinjauan FMT pada pagi Khamis mendapati tempat letak kereta dan tempat mencuci kereta yang dahulunya terdapat di dua lot tanah berkenaan tiada lagi di situ. Pekerja turut dilihat di kawasan itu sedang memuatkan barangan ke dalam trak, sementara jaring keselamatan pembinaan telah dipasang di sekitar rumah kosong berkenaan.

Ksharmini, yang mewakili penduduk dalam gerakan SKL, berkata hasil pertemuan 27 Mac adalah kajian dan laporan geoteknik lain akan dilakukan. DBKL juga akan segera melakukan pemeriksaan lokasi dengan pihak berkepentingan.

Dia menambah ketua jabatan perancang bandar DBKL, Zulkurnain Hassan sebelum ini berjanji mahu mengusulkan kepada pihak atasan majlis perbandaran untuk mempertimbang mengembalikan kawasan itu ke status “kediaman” asalnya, yang sangat disambut baik oleh penduduk.

Pada awal 2019, kawasan tersebut telah ditetapkan kembali daripada diklasifikasikan sebagai “kediaman” menjadi “komersial utama” di bawah Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

Ksharmini juga menyatakan penduduk telah berulang kali meminta salinan arahan pembangunan untuk projek yang dicadangkan itu tetapi pemaju belum memberikannya kepada mereka.

Jalan Abdullah menempatkan beberapa rumah tertua di Bangsar, yang terdiri daripada kebanyakan rumah banglo dan rumah berkembar. Sebahagian besar hartanah di situ dibina antara 1929 dan 1940.

Penduduk telah lama membantah cadangan projek pangsapuri 32 tingkat di atas tanah itu. Dalam pertemuan terakhir pada 27 Mac, mereka dimaklumkan pembangunan itu adalah pangsapuri servis 34 tingkat dengan 180 unit.

Pada Februari tahun lalu, penduduk dan Gabungan Selamatkan KL (SKL) mengadakan sidang media menyatakan bantahan mereka terhadap projek tersebut. Mereka mendakwa tidak dibawa berunding sebelum projek itu dicadangkan.

Fahmi, Ahli Parlimen untuk kawasan itu memberitahu FMT, penduduk telah menyatakan beberapa isu pada pertemuan terakhir yang seharusnya mendapat maklum balas daripada pemaju semasa penglibatan berikutnya, seperti kebimbangan mengenai laporan geoteknik projek itu.

Beliau berkata penglibatan prapembinaan dengan penduduk tidak selesai lagi, dengan DBKL berjanji mahu mengkaji semula laporan sebelum memberi lampu hijau untuk projek tersebut.

“Secara peribadi, saya tidak berpuas hati dengan laporan penilaian kesan trafik dan meminta DBKL mengkaji perkara ini secara lebih komprehensif.

“Sejak itu, saya tidak menerima kemas kini daripada DBKL atau pemaju,” katanya.

Sambil menzahirkan rasa terkejut melihat kerja-kerja perobohan sepertinya telah bermula, beliau difahamkan bahawa kebenaran untuk meneruskan pembangunan dan merobohkan adalah dua arahan yang berasingan.

Ksharmini dan ketua SKL M Ali berkata, pemaju tidak sepatutnya memulakan kerja perobohan kerana kajian dilapidasi masih belum dilakukan, susulan itu Ali mendesak DBKL memastikan tindakan diambil terhadap syarikat itu.

Ksharmini menambah, sekalipun pemaju telah mendapat kebenaran untuk memulakan kerja-kerja perobohan, kediaman berdekatan harus dimaklumkana terlebih dahulu.

Ali memberi amaran jika kerja perobohan diteruskan tanpa kajian dilapidasi akan menjejaskan kawasan kejiranan, sambil menambah tiada kemaskini dari DBKL atau pemaju sejak pertemuan dua minggu lalu.

FMT telah menghubungi Datuk Bandar KL, Mahadi Che Ngah serta jabatan perancangan bandar DBKL yang berkaitan untuk memberi ulasan. Jabatan perancangan berkata pihak mereka akan memberi maklum balas tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.