Restoran dan syarikat penghantaran makanan memberitahu FMT, bilangan penghantar makanan berkurangan, sebahagiannya kerana ramai yang kembali kepada pekerjaan sepenuh masa mereka kerana ekonomi dibuka semula selepas perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) dibatalkan awal bulan lalu.
Sesetengah penghantar makanan beralih kepada syarikat kurier, yang dilihat menawarkan pendapatan lebih stabil, manakala yang lain menggunakan pengeluaran simpanan menerusi skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai modal memulakan perniagaan baharu.
“Terdapat penurunan besar dalam penghantar sedia ada pada bulan lalu, dan jumlah itu merosot kira-kira 85% sepanjang tempoh itu,” kata pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj kepada FMT.
“Kami nampak banyak faktor, seperti peluang pekerjaan lebih baik, pengeluaran simpanan daripada skim i-Sinar dan pelajar kembali ke kolej serta universiti selepas PKP dibatalkan.”
Walaupun pesaing Foodpanda menerima lebih 20,000 penghantar baharu sejak Mac hingga Julai 2020, ketua logistiknya di Malaysia mendapati ada “sedikit penurunan” dalam jumlah penghantar di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.
Shubham Saran dalam e-mel kepada FMT berkata, kelonggaran peraturan PKP ialah punca utama penurunan itu yang akan menjadi cabaran kepada mereka, khasnya menjelang Ramadan minggu depan.
“Ramai penghantar yang menyertai kami sejak 12 bulan lalu, khasnya di kawasan Lembah Klang, kembali kepada pekerjaan sepenuh masa mereka.
“Kami menjangkakan tekanan pada operasi untuk penghantar, pelanggan dan vendor kami yang beragama Islam, yang mahu berbuka puasa pada waktu khusus.
“Jika trend ini berterusan, kami perlu memfokuskan usaha melabur untuk mendapatkan lebih ramai penghantar.”
Pesaing terbesar mereka, Grab, turut mendapati penurunan dalam bilangan rakan kongsi perkhidmatan dan menghentikan sementara kempen “Hot Deals” – yang menawarkan diskaun 50% kepada pelanggan membuat pesanan dengan GrabFood – selama dua hari.
Dalam mesej kepada rakan niaganya, Grab berkata, ia akan menghentikan kempen itu seketika akibat “pengurangan sementara jumlah rakan penghantar dalam talian” ketika permintaan terus meningkat, khasnya pada hujung minggu.
“Kami mahu mengelakkan pengguna kecewa kerana menunggu lama atau makanan anda berisiko dibazirkan akibat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang dijangkakan,” kata Grab.
Katanya, punca pengurangan bekalan sementara itu termasuk keadaan cuaca yang kerap hujan ketika waktu puncak makan, pandangan dikongsi pemilik sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Selain cuaca buruk dan pengeluaran i-Sinar, seorang pemilik restoran berkata, operasi ekzos bising kenderaan oleh polis, bayaran lebih baik yang ditawarkan syarikat kurier, antara alasan lain penghantar bertukar angin.
“Operasi Ekzos menyebabkan ramai penghantar bersembunyi. Ada pula yang menyertai penghantaran bungkusan e-dagang – mereka boleh mengambil 80 bungkusan untuk dihantar dan dibayar untuk hari itu.
“(Mereka) tidak perlu tunggu dan tidak pasti sama ada akan mendapat tugasan (menghantar makanan).”
Disebabkan permintaan untuk penghantaran makanan menyaksikan pertumbuhan kukuh kerana semakin ramai menggunakan kemudahan membeli makanan dalam talian, pengusaha restoran berkata, penyedia perkhidmatan tertentu menawarkan bonus sehingga RM160 sehari dalam usaha menarik lebih ramai penghantar.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia, J Govindasamy mengesahkan 2,000 ahlinya mendapati penghantar makanan berkurangan berbanding sebelum PKP 2.0 – mungkin disebabkan ramai penghantar sudah kembali kepada pekerjaan lama mereka.
“Walaupun perniagaan meningkat sedikit sekarang, saya tidak rasa ini (kekurangan penghantar makanan) ialah masalah utama kerana pelanggan dibenarkan makan di dalam premis sekarang.
“Jika tiada pelanggan makan dalam premis, ini mungkin menjadi masalah besar.”