
Beliau berkata, peratus warga emas (melebihi 60 tahun) dijangka meningkat secara drastik, iaitu kepada 5.3 juta dalam 10 tahun akan datang.
“Pada 2020, terdapat 3.7 juta warga emas di negara ini dan ia dijangka meningkat sebanyak 15.3%, iaitu kepada 5.3 juta pada 2030,” katanya ketika berucap pada Program Volunteerism @Pawe: Bengkel Kemahiran Asas Kesukarelawanan.
Beliau berkata, kajian juga menunjukkan hampir 23% atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom “sarang kosong” atau “empty nest”, iaitu kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian dan jauh daripada anak.
“Kesunyian dan kemurungan ini memberi kesan kepada kesihatan mereka, serta membataskan peranan mereka sebagai anggota masyarakat.”
Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Pelan Strategiknya 2021 hingga 2025, memberi penekanan kepada pembangunan warga emas.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan meningkatkan bantuan kewangan tahunan pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daripada RM33,330 kepada RM50,000 bagi melaksanakan program serta aktiviti PAWE, sejajar konsep warga emas aktif dan produktif.
Tahun ini juga, katanya, RM7.15 juta diperuntukkan bagi pengoperasian 143 PAWE di seluruh negara sebagai tanda komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas.
Beliau berkata, PAWE beroperasi berteraskan konsep Organisasi Berasaskan Komuniti yang dikendalikan badan bukan kerajaan dengan kerjasama strategik kementeriannya.