Kenderaan dicuri setiap 1 jam 15 minit, menurut kajian

Kenderaan dicuri setiap 1 jam 15 minit, menurut kajian

Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad berkata sejumlah 20 kenderaan dicuri setiap hari pada 2020.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Dev Kumar berkata, sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan dilaporkan tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah kenderaan dicuri setiap satu jam 15 minit di negara ini, kata Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) Mas Tina Abdul Hamid.

Beliau berkata, menurut kajian pihaknya tahun lalu berdasarkan dapatan itu, sejumlah 20 kenderaan dicuri setiap hari pada 2020.

“Namun, jumlah kecurian kenderaan itu menurun berikutan kerjasama erat VTREC, polis dan agensi lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2021.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Dev Kumar berkata kes kecurian kenderaan seluruh negara dilaporkan kepada polis menunjukkan trend penurunan setiap tahun.

“Sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan dilaporkan tahun lepas berbanding 2019 sebanyak 30,868 kes iaitu keseluruhan penurunan sebanyak 30 %,” katanya.

Dev berkata, kes melibatkan 4,596 kecurian kereta; 16,057 kecurian motosikal manakala 925 melibatkan kenderaan jenis lori, van dan jentera berat.

Sementara itu, sejumlah 1,215 ahli sindiket curi kenderaan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak 2016.

Dev berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun tidak termasuk jumlah ahli sindiket yang dituduh di mahkamah atas kesalahan sama.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 753 ahli sindiket mencuri motosikal, 422 sindiket curi kereta dan selebihnya melibatkan kenderaan lain.

Dalam perkembangan lain mengenai Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang dikatakan mengendalikan aktiviti buang sampah, sisa toksik, edar dadah dan seludup pendatang tanpa izin di Pandamaran, Klang, Dev berkata siasatan polis berhubung isu itu masih di peringkat awal dan maklumat lanjut sedang dikumpulkan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan semula kumpulan itu.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 itu dilaporkan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.