15 warga Myanmar cuba rentas negeri tanpa surat sah ditahan

15 warga Myanmar cuba rentas negeri tanpa surat sah ditahan

Polis percaya mereka cuba pulang ke negara asal melalui sempadan di Kelantan.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata warga Myanmar cuba merentas negeri tanpa surat sah ditahan ketika menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kelantan.
GUA MUSANG:
Polis menahan 15 warga Myanmar kerana cuba merentas negeri tanpa kebenaran dan menggunakan surat kebenaran palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Puteh, Isnin lalu.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata semua warga Myanmar termasuk dua wanita ditahan ketika menaiki sebuah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, Kelantan.

“Warga asing terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka diminta menunjukkan surat kebenaran merentas negeri. Lima daripada mereka menunjukkan surat kebenaran palsu manakala 10 lagi tidak mempunyai surat kebenaran.

“Semua warga asing itu juga mempunyai dokumen perjalanan yang tamat tempoh dan dipercayai cuba pulang ke negara asal melalui sempadan di Rantau Panjang untuk merentas ke Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Beliau berkata semua warga asing yang berumur antara 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sik berkata inikes pertama membabitkan penahanan warga asing yang cuba merentas negeri menggunakan surat kebenaran palsu di daerah ini.

Polis akan mempertingkatkan pemeriksaan kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Lojing-Gua Musang bagi mengesan individu yang merentas negeri tanpa surat kebenaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.