Henti beku pengambilan pekerja asing untuk bantu kita pulih, kata FMM

Henti beku pengambilan pekerja asing untuk bantu kita pulih, kata FMM

Soh Thian Lai berkata pekerja asing diperlukan untuk sektor pembuatan kerana permintaan dan pengeluaran kembali mendapat momentum.

Ramai pekerja terpaksa dihantar pulang kerana permit mereka tamat tempoh, malah ada yang tersekat di sana dan tidak dapat kembali kerana penutupan sempadan, kata FMM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menghentikan pembekuan pengambilan pekerja asing untuk membantu perniagaan pulih, kata Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata, pekerja asing diperlukan untuk sektor pembuatan kerana permintaan dan pengeluaran kembali mendapat momentum.

“Sepanjang tahun lalu, industri ini terpaksa menghantar pulang pekerja mereka kerana permit yang tamat tempoh. Sejumlah pekerja tersekat di negara asal mereka dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini kerana pandemik dan penutupan sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Soh berkata, pekerja asing biasanya diperlukan untuk mengisi kekosongan peringkat pengendali umum yang sukar diisi penduduk tempatan kerana sifat pekerjaan atau industri tersebut.

Beliau berkata, peralihan ke arah automasi dan penerapan digitalisasi akan memakan masa, oleh itu keperluan buruh perlu terus dipenuhi untuk menampung dan mengembangkan perniagaan.

“Pengilang, terutama pengeksport dan sokongan perniagaan IKS, perlu berterusan dibantu inisiatif yang diperlukan termasuk sokongan dalam keperluan tenaga kerja.

“Jika tidak, industri akan berdepan masalah yang lebih parah apabila tidak dapat memenuhi permintaan mereka dalam situasi kritikal ini,” kata Soh.

Beliau berkata, untuk negara beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan perlu mempunyai pengurusan dan pentadbiran pekerja asing yang lebih menyeluruh dan telus supaya perubahan dapat berlaku secara bertahap melalui “mekanisme berdasarkan pasaran”.

“Ia akan berfungsi sebagai mekanisme semula jadi bagi industri untuk menilai kembali model perniagaan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.