RUU kualiti benih akan tindas hak petani, kata badan bertindak

RUU kualiti benih akan tindas hak petani, kata badan bertindak

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia berkata, undang-undang diusulkan itu akan melarang amalan tradisi petani di negara ini.

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan terlebih dahulu melaksanakan proses konsultasi awam sebelum membentangkan RUU Kualiti Benih Tanaman di Parlimen.
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang hanya menguntungkan pengeluar benih komersial dan menafikan hak petani, menurut Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM).

Menerusi kenyataan, penyelaras badan bertindak itu, Fitri Amir Muhammad berkata, undang-undang diusulkan akan melarang amalan menyimpan, menukar, dan menjual benih yang sudah lama menjadi kebiasaan dan tradisi bagi petani di negara ini.

Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee mengumumkan RUU itu, yang dibincangkan sejak 2019, akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Menurut beliau, RUU itu akan mengawal selia semua benih terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, import, dan eksport untuk memastikan kualiti benih yang dihasilkan memenuhi syarat dan piawaian akan ditetapkan.

Benih terkawal adalah benih yang berasal daripada spesies tanaman atau varieti memiliki nilai komersial yang ditentukan oleh Lembaga Kualiti Benih.

Kawal seliaan terhadap semua benih terkawal itu akan dilakukan melalui penguatkuasaan perlesenan terhadap semua individu yang mahu melaksanakan apa sahaja proses melibatkan benih terkawal.

Menurut FKMM, untuk mendapatkan lesen, pemohon perlu membayar yuran dengan jumlah akan ditetapkan, menghantar sampel benih ke makmal yang dilantik untuk ujian kualiti dan mematuhi piawaian penyimpanan, pembungkusan dan perlabelan.

Mana-mana individu yang melanggar undang-undang itu boleh dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM200,000 atau dipenjara selama tiga hingga lima tahun.

Fitri berkata, hukuman denda dan penjara ke atas petani hanya kerana mereka menjalankan amalan tradisional adalah tidak adil dan bersifat menindas.

“(Ini) dapat memprovokasi protes seperti yang pernah terjadi di Indonesia dan India, terutama jika kerajaan tidak berhati-hati dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, RUU itu akan memberi kelebihan kepada syarikat besar untuk mengawal sistem benih apabila pengusaha dan petani kecil yang memproses benih perlahan-lahan hilang.

“Bagi petani kecil yang menjual benih secara kecil-kecilan di pasar lambak dan tamu pula, syarat pembungkusan dan perlabelan yang ketat akan menafikan hak mereka untuk menjual dan hak pembeli untuk membeli benih yang mereka suka,” katanya.

“Syarikat-syarikat besarlah nanti yang akan melaksanakan pemprosesan benih bermula daripada menguji varieti sehingga mengedar dan menjual benih.”

Lebih malang lagi, kata beliau, apabila wang kerajaan digunakan untuk mensubsidi sistem benih swasta, sekali gus mendiskriminasi sistem benih tempatan.

FKMM mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan terlebih dahulu melaksanakan proses konsultasi awam sebelum membentangkan RUU itu di Parlimen.

“Kali terakhir proses konsultasi diadakan dengan anggota forum ini adalah pada 2019,” katanya.

FKMM turut mencadangkan RUU itu diguna pakai terhadap syarikat komersial yang menjual benih bagi memastikan benih yang dijual mereka berkualiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.