Pindah replika capal ke ruang bersesuaian, saran jabatan mufti

Pindah replika capal ke ruang bersesuaian, saran jabatan mufti

Siasatan awal JMNP mendapati replika itu diletakkan di bahagian mihrab sebuah surau di Lenggong sejak setahun yang lalu hanya sebagai “hiasan”.

Siasatan awal Jabatan Mufti Negeri Perak mendapati replika capal itu diletakkan di bahagian mihrab sebuah surau di Lenggong sejak setahun yang lalu hanya sebagai “hiasan”. (Gambar Facebook)
IPOH:
Replika papan kayu berbentuk capal yang menghiasi bahagian mihrab di sebuah surau di Lenggong, Perak, seperti dilihat dalam gambar yang tular di media sosial baru-baru ini, disarankan untuk dialihkan ke ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.

Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak surau atau madrasah berkenaan perlu peka dengan persekitaran semasa dan telahan masyarakat awam dengan menutup pintu-pintu fitnah serta menolak perkara yang boleh membawa kepada unsur pemujaan.

“Ini bersesuaian dengan konsep sad al’zariah dengan maksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan.

“Dalam masa yang sama, netizen dan orang ramai dinasihatkan agar menjauhi perbuatan melabel sesuatu pihak secara melampau seperti kafir, fasiq dan sebagainya tanpa melakukan proses tabayyun terlebih dahulu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati replika itu diletakkan di bahagian mihrab tersebut sejak setahun yang lalu hanya sebagai “hiasan”, seperti diakui pihak pengurusan madrasah atau surau berkenaan.

“JMNP setelah meneliti dengan penuh hemat dan saksama bahawa hasrat mereka yang terlibat adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Namun, perbuatan ini telah menimbulkan pelbagai andaian (seperti) pernyataan yang tidak wajar terhadap urusan agama yang suci ini,” katanya.

Isu capal berkenaan mempunyai kaitan dengan tabarruk iaitu mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad, satu konsep yang dibolehkan dalam Islam berdasarkan hadis-hadis yang sahih, menurut kenyataan itu.

“Tetapi (yang dibolehkan) adalah kesan langsung dari peninggalan Nabi seperti capal, bekas minuman, rambut Nabi dan sebagainya, bukan replika,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.