Rasuah Busters tiada unsur politik walaupun dianggotai bekas pemimpin PPBM

Rasuah Busters tiada unsur politik walaupun dianggotai bekas pemimpin PPBM

Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, pemilihan bekas ahli MPT PPBM, Rais Hussin Mohamed Ariff atas kapasitinya sebagai ketua pegawai eksekutif Emir Research yang menjalankan pelbagai kajian.

Hussamuddin Yaacub berkata, rasuah berlaku dalam pelbagai bidang disebabkan kegagalan memahami sistem nilai dan moral.
SHAH ALAM:
Rasuah Busters adalah gerakan daripada rakyat untuk membanteras jenayah itu dan tidak berunsurkan politik walaupun seorang daripada 15 ahli pasukan pemikirnya menganggotai sebuah parti politik.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Hussamuddin Yaacub, berkata pemilihan bekas ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM, Rais Hussin Mohamed Ariff, atas kapasitinya sebagai ketua pegawai eksekutif Emir Research yang menjalankan pelbagai kajian.

“Gerakan ini tiada unsur politik, bukan PPBM hantar kepada kami. Sebagai ahli perniagaan dan opportunis… saya lihat Rais mempunyai Emir yang boleh kita gunakan untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kita boleh bekerjasama dan tidak perlu bayar (untuk menggunakan kepakaran serta hasil kajian Emir dalam pelbagai aspek),” katanya pada sidang media ketika memperkenalkan ahli pasukan pemikir Rasuah Busters di ibu pejabat Karangkraf.

Ahli lain adalah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy; Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas, Fazrul Fahmee Ismail; Profesor Adjung (Komunikasi) Taylor’s University School Of Media and Communication, Harmandar Singh; Presiden Mentor Publishing, Chiew Ruoh Peng; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin; bekas wartawan, G Manimaran; juruaudit, Shah Hakim Zain; perunding pendidikan, Jonson Chong; Ketua Pegawai Eksekutif Interim Shieldcard Holdigs Sdn Bhd, Richard M Devaraj; dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman.

Rasuah Busters, diasaskan oleh Hussammudin yang juga pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf sejak dua bulan lalu, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan serta bahaya jenayah rasuah kepada negara.

Mengulas lanjut, Hussammuddin berkata pasukan berkhidmat secara sukarela itu menggandingkan kepakaran masing-masing bagi menyelamatkan Malaysia daripada terus terjerumus dengan rasuah.

“Kita selalu menyalahkan kerajaan mengenai rasuah tetapi sebenarnya di peringkat korporat lebih luas. Rasuah berlaku dalam pelbagai bidang disebabkan kegagalan memahami sistem nilai dan moral dalam agama masing-masing,” katanya.

Beliau juga berharap gerakan reformasi moral itu turut mendapat kerjasama syarikat media lain walaupun pergerakan itu diasaskan olehnya sebagai seorang pemilik syarikat media.

Katanya, dalam fasa awal ini pihaknya menekankan kepada aspek kesedaran terlebih dahulu dan akan bekerjasama secara serius dengan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila tiba masanya.

Sementara itu, Rais yang juga pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata Rasuah Busters adalah gerakan majoriti rakyat yang muak dengan jenayah berkenaan sehingga menyebabkan segelintir masyarakat menjadi miskin.

“Rasuah memberi kesan kepada ekonomi dan kebajikan. Saya menyokong gerakan ini dan sebagai pengerusi sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) kita ambil langkah banteras.

“Saya sering tekankan kepada kakitangan supaya segala tindakan kita memberi manfaat kepada majoriti rakyat bukannya golongan tertentu sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.