
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, jajaran baharu dikenali sebagai ECRL 3.0 itu dilaksanakan selepas mengambil kira hasil perbincangan dan permuafakatan dengan pihak berkepentingan yang terbabit dengan projek ECRL.
“Antaranya kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.
“Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan untuk mengubah semula jajaran Seksyen C ECRL ke jajaran asal yang dicadangkan pada 2016-2017,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan mengenai perkembangan projek ECRL.
Wee berkata, jajaran asal Seksyen C itu, yang juga dikenali sebagai Jajaran Utara, akan membabitkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah menggantikan Jajaran Selatan yang melalui Negeri Sembilan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan sebagai pihak dipertanggungjawabkan bagi menyelia pelaksanaan projek ECRL, mendapati Jajaran Utara akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar, dan sosial.
“Jajaran Seksyen C ECRL 3.0 dianggarkan merangkumi 201km termasuk 32.4km jajaran sisihan berbanding jajaran sebelum ini 185.5km (termasuk 41.5km jajaran sisihan).
“Ini menjadikan keseluruhan jajaran dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dengan perubahan terkini adalah sepanjang 665km.
“Jajaran Utara ini akan melibatkan pembinaan tujuh stesen dalam jangka masa panjang dengan lima stesen yang akan dibina pada peringkat awal iaitu stesen Temerloh, Bentong, ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam (Pelabuban Klang).
“Manakala dua stesen iaitu Puncak Alam dan Kapar di Selangor telah pun ditetapkan sebagai stesen perancangan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan jajaran itu pada 2 Sept tahun lalu.
Kos lebih rendah
Sementara itu, Wee berkata kos ECRL 3.0 lebih rendah berbanding ECRL 2.0 ketika zaman Pakatan Harapan (PH) yang melalui Jajaran Selatan.
Katanya, ia diambil kira selepas ditambah dengan kos pembinaan Serendah Bypass yang dimasukkan sekali dalam anggaran kos pembinaan ECRL 3.0.
“Mungkin ada yang akan tanya RM50 bilion nampaknya lebih tinggi RM47.38 bilion (zaman PH) tetapi seperti mana saya huraikan kita bina dua infrastruktur pada satu harga.
“Oleh sebab itu memasukkan elemen Serendah Bypass yang dianggarkan RM5 bilion. Jadi ditambah kos pembinaan Serendah Bypass dengan Jajaran Selatan (ECRL 2.0) sebanyak RM52.28 bilion. Kos ECRL 3.0 anggaran RM50 bilion termasuk kos pembinaan Serendah ByPass.
“Kos ECRL 3.0 juga lebih rendah berbanding kos asal pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 semasa ECRL dilancarkan pada 2017 ketika zaman Barisan Nasional (BN) iaitu RM55 bilion,” katanya.
Beliau berkata, ketika Fasa 1 kos pembinaan adalah RM46 bilion dan Fasa 2 RM9 bilion.
Katanya, walaupun pelaksanaan ECRL diubah kepada laluan asal iaitu Jajaran Utara, projek itu masih boleh disiapkan dalam masa tujuh tahun dan mula beroperasi pada 2027.
Impak alam sekitar
Wee turut memaklumkan, hanya dua kebarangkalian kawasan Orang Asli akan mengalami kesan langsung bawah Jajaran Utara berbanding tujuh kawasan di Jajaran Selatan.
Katanya, ini berikutan Jajaran Utara direka untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
“Bawah Jajaran Utara, ECRL hanya melibatkan serta menjejaskan dua kawasan Tanah Rizab Melayu di kawasan Gombak dan Rantau Panjang.
“Jajaran Selatan pula jika dilaksanakan akan melibatkan serta menjejaskan sekurang-kurangnya tiga kawasan Tanah Rizab Melayu iaitu di Beranang, Jenderam dan
Dengkil,” katanya.
Wee berkata, bagi Jajaran Utara dijangka hanya melintasi tiga kawasan tadahan air antara Mentakab dan Pelabuhan Klang berbanding Jajaran Selatan melintasi sekurang-kurangnya empat kawasan tadahan air.
Katanya, Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) untuk Jajaran Utara sudah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada April 2018.
“Tempoh sah Laporan EIA dilanjutkan oleh JAS pada Mac 2020, lantas membolehkan kita mengesan impak yang berpontensi terhadap alam sekitar pada peringkat perancangan dan reka bentuk projek,” katanya.
Beliau berkata, Jajaran Utara juga tidak akan memasuki kawasan Empangan Batu yang merupakan salah satu empangan membekalkan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang.
“Kementerian Pengangkutan akan memastikan projek ECRL itu tidak akan menjejaskan Permatang Kuarza Gombak yang sedang dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.