Polis nafi anggota alami komplikasi akibat vaksin Covid-19

Polis nafi anggota alami komplikasi akibat vaksin Covid-19

Ketua Polis Daerah Gerik Zulkifli Mahmood berkata, siasatan mendapati anggota berkenaan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Polis menafikan mesej tular dalam bentuk laporan semalam yang mendakwa seorang anggota berpangkat koperal berusia 58 tahun mengalami komplikasi dan dimasukkan ke Hospital Gerik selepas mengambil suntikan dos kedua vaksin Covid-19.
IPOH:
Polis menafikan dakwaan yang tular menerusi media sosial kononnya seorang anggota dari Balai Polis Gerik dimasukkan ke Unit Kecemasan hospital di sini akibat komplikasi vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Gerik Zulkifli Mahmood berkata, siasatan mendapati anggota berkenaan sebenarnya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Anggota berkenaan diserang strok selepas habis waktu bertugas di pondok balai polis petang semalam dan dibawa ke Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

“Bagaimanapun beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kemungkinan akan dibawa ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mesej tular dalam bentuk laporan itu menyatakan anggota berpangkat koperal berusia 58 tahun berkenaan mengalami komplikasi dan dimasukkan ke Hospital Gerik selepas mengambil suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Zulkifli turut meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak benar selain memastikan kebenaran sesuatu maklumat bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang kerana mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.