Kaji semula Akta Perhimpunan Aman, kata Zuraida

Kaji semula Akta Perhimpunan Aman, kata Zuraida

Hak orang ramai berkumpul secara aman dan menyuarakan pandangan mereka perlu dipertahankan, kata menteri itu.

Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen pada 27 Mac lalu dihadiri kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan NGO.
PETALING JAYA:
Hak orang awam berkumpul secara aman dan menyuarakan pandangan mereka, dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi, perlu dipertahankan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau menyuarakan kebimbangannya setelah sekumpulan peserta Himpunan Tuntut Undi 18 dan penganjurnya dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“Saya bimbang akan hal ini, dan akan menyuarakan isu ini kepada Jemaah Menteri,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kata Zuraida, beliau faham polis yang menyiasat perhimpunan itu menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan bawah Akta Perhimpunan Aman.

Zuraida Kamaruddin.

“Saya tidak percaya mereka berniat untuk menindas sesiapa,” tambah beliau.

“Akta (Perhimpunan Awam) perlu dikaji semula untuk memastikan perhimpunan diadakan secara aman.”

Penganjur dan peserta perhimpunan aman tidak sepatutnya disiasat pihak berkuasa, kata Zuraida, sambil menyarankan agar polis berada di lokasi perhimpunan untuk memastikan ia diadakan secara aman.

Pada 27 Mac, kira-kira 200 individu yang terdiri daripada mahasiswa dan NGO menyertai Himpunan Tuntut Undi 18 yang diadakan di hadapan bangunan Parlimen.

Himpunan aman itu diadakan bagi meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun sehingga selepas September 2022.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, 11 orang yang terbabit dalam perhimpunan itu, termasuk penganjur, dipanggil untuk memberi keterangan.

Antaranya adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Hannah Yeoh (Segambut), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan bekas pengerusi Bersih 2.0 yang juga presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 serta Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang, yakin SPR sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan dasar Undi 18 dapat dilaksanakan secepat mungkin, dengan sokongan kerajaan.

“Namun, saya juga berpegang kepada kebebasan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.