
Namun pemandangan lautan biru yang mempersonakan itu ada kalanya dicacatkan dengan kehadiran sampah-sarap di pesisir pantai, angkara sikap individu yang tidak bertanggungjawab.
Kecewa dengan keadaan tersebut, kira-kira 100 ahli ‘geng plastik ija’ (GPI) (‘Ija’ bermaksud hijau dalam dialek Terengganu) yang antaranya merupakan golongan profesional, sepakat mengambil inisiatif mengutip sampah dan membersihkan kawasan pantai serta pulau pada setiap hujung minggu.
Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata sejak diwujudkan pada 2017, setiap minggu sudah menjadi kebiasaan para ahli memakai baju t-shirt rasmi berwarna hijau dan membawa plastik sampah yang juga berwarna hijau mengutip sampah-sarap di sekitar pantai.
“Pada mulanya hanya saya dan isteri Normazita Ali, 45, sahaja yang melakukan aktiviti ini secara sukarela kerana kami selalu menghabiskan waktu petang dengan berjalan-jalan di pantai.
“Namun kami berasa ‘sakit mata’ melihat begitu banyak sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung, jadi kami pun mula mengutip sampah.
“Selepas itu ada pula rakan kami yang berminat untuk turut serta (mengutip sampah) dan mereka menguar-uarkan aktiviti ini di media sosial.
“Kemudian ahli kami semakin berkembang sehinggalah tertubuhnya GPI ini,” kata jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas berumur 52 tahun itu ketika ditemui pada program pembersihan Pantai Pandak di Chendering, di sini.
Zulkefli berkata, pada peringkat awal penubuhannya, aktiviti GPI lebih banyak tertumpu di pantai sekitar Kemaman dan Dungun memandangkan kebanyakan ahli berasal dari kedua-dua daerah itu.
Namun pada 2019 seiring dengan pertambahan ahli, termasuk dari Kuala Terengganu, GPI melebarkan aktiviti mereka ke kawasan pantai sekitar Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.
Zulkefli berkata, selain menganggap usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah, mereka juga berharap ia dapat menjadi contoh yang baik dan membuka mata masyarakat untuk turut sama menjaga kebersihan pantai.
“Pantai ini adalah magnet rezeki. Apabila pantai cantik dan bersih akan ramai orang, termasuk dari luar Terengganu datang berkunjung.
“Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kerana mereka boleh berniaga makanan dan sebagainya,” katanya.
Zulkifli berkata, GPI turut melibatkan penyertaan pelajar, termasuk dari pusat tahfiz dan sekolah sebagai usaha melahirkan golongan muda yang lebih bertanggungjawab.
Wakil GPI dari Kuala Terengganu, Dr Mohd Arif Hafizi, 31, berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila mereka berjaya mengumpul 389 kilogram sampah hanya dalam tempoh beberapa jam di Pantai Kemasik, Kemaman pada Ogos tahun lepas.
Beliau berkata, kebiasaannya sebanyak 70 hingga 80% sampah di pesisir pantai merupakan sampah bawaan ombak seperti pukat nelayan dan botol kaca, manakala selebihnya adalah sampah yang dibuang oleh pengunjung seperti sisa makanan, tisu dan plastik minuman.
“Walaupun jumlahnya banyak, namun sampah bawaan ombak selalunya hanya muncul pada musim tengkujuh sahaja.
“Berbeza dengan sampah yang dibuang orang ramai, walaupun lebih sedikit, tetapi ia ada pada setiap masa tidak kira musim.
“Sampah seperti plastik makanan dan minuman yang paling merisaukan kerana ia susah untuk reput dan mampu mengancam hidupan laut sekiranya dibawa ombak hingga ke tengah laut,” katanya yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Mohd Arif yang melakukan aktiviti sukarela tersebut bersama isteri Dr Fatin Nurliyana Mohd Zain, 28, berkata, sampah seperti botol plastik, kertas dan sebagainya akan dihantar ke pusat kitar semula.