
Ketika lawatan mengejut beliau di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di mana beberapa Ahli Parlimen pembangkang dipanggil memberi keterangan berhubung pembabitan dalam protes Undi 18 Sabtu lalu, Mahathir berkata sebarang kelewatan dalam pelaksanaan dasar tersebut disengajakan kerajaan untuk menyekat pengundi muda.
Kata beliau, sepatutnya cukup masa untuk menyelesaikan segala perkara, terutamanya memandangkan kini semua rekod berada dalam talian dan boleh diakses bila-bila masa.
“Jika ada penangguhan, maka ia disengajakan. Tujuannya menghalang golongan muda daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya dan itu amat tidak adil,” kata beliau.
Turut hadir, dua anak beliau, Mukhriz dan Marina.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Hannah Yeoh (Segambut), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan bekas pengerusi Bersih 2.0 yang juga presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dipanggil polis hari ini berhubung pembabitan mereka dalam protes di luar bangunan Parlimen minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, Undi 18 akan dilaksanakan menjelang Julai tahun ini, namun dalam kenyataan bulan lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata, ini akan ditangguhkan sehingga selepas September 2022.
Abdul Ghani berkata, persediaan SPR bagi dasar menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik tertangguh akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.