Kerajaan sedia belanja besar demi selamatkan rakyat, ekonomi negara, kata PM

Kerajaan sedia belanja besar demi selamatkan rakyat, ekonomi negara, kata PM

Penularan wabak Covid-19 amat mencabar bagi kerajaan kerana membabitkan nyawa dan juga menjejaskan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata kerajaan telah membuat tempahan vaksin dalam kuantiti yang besar kerana tidak mahu mengambil mudah nyawa rakyat.
KOTA SAMARAHAN:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia untuk berbelanja besar demi menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara akibat penularan pandemik Covid-19 sekarang.

Beliau berkata penularan wabak itu amat mencabar bagi kerajaan kerana membabitkan nyawa dan juga menjejaskan ekonomi negara, sehingga memaksa kerajaan berbelanja besar untuk membeli ubat-ubatan, memastikan katil hospital mencukupi serta menambah bilangan doktor dan jururawat.

“Ini kita lakukan kerana kita perlu menyelamatkan setiap nyawa rakyat dan kerajaan telah membelanjakan antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk selesaikan masalah Covid-19, dan jumlah itu belum lagi termasuk wang untuk pembelian vaksin,” katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Masyarakat Samarahan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan telah membuat tempahan vaksin dalam kuantiti yang besar kerana tidak mahu mengambil mudah nyawa rakyat.

Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan proses program vaksinasi di Sarawak dan berjanji akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar lebih banyak vaksin Covid-19 ke negeri itu.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata meskipun berdepan situasi paling sukar dalam sejarah negara berikutan penularan pandemik itu, rakyat kekal bersatu.

Katanya sebaik sahaja dilantik menjadi perdana menteri, beliau terus berdepan dengan pandemik itu, menyebabkan langkah segera perlu diambil.

“Keputusan terpaksa diambil dengan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) supaya rakyat selamat daripada musibah pandemik di seluruh negara. Walaupun kesannya besar tetapi tujuannya (penguatkuasAan PKP ialah) supaya rakyat selamat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan terpaksa mengambil langkah mengimbangi nyawa rakyat dan kesan ekonomi, kerana hampir semua sektor ekonomi terpaksa ditutup sehingga menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari semasa pelaksanaan PKP.

Katanya kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan bernilai RM300 bilion bagi membantu golongan yang terkesan dan keadaan kini beransur pulih dengan hampir 100% sektor ekonomi sudah dibuka semula kecuali beberapa sektor seperti pelancongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.