
Permohonan rujukan saman Khairuddin ke Mahkamah Persekutuan bakal didengar pada 12 April.
Hakim Mariana Yahya yang kini dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan, minggu lalu memaklumkan bahawa beliau akan mendengar dahulu permohonan Khairuddin sebelum meneruskan dengan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan.
Pada 5 Mac, Khairuddin memfailkan empat persoalan undang-undang di Mahkamah Tinggi untuk dirujuk Mariana mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Khairuddin berkata, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy hari ini menghantar emel kepada setiausaha Hakim Noorin Badaruddin, iaitu pengganti Mariana.
“Kami akan membantah permohonan kerajaan itu pada Isnin,” kata Rafique.
Khairuddin memfailkan saman pemula pada 18 Jan meminta mahkamah memutuskan berhubung isu perundangan dan perlembagaan berhubung pengisytiharan darurat itu.
Pada 17 Feb, Muhyiddin dan kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan ia bersifat semberono, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa dalam afidavit sokongannya berkata, tiada keterangan dalam permohonan Khairuddin itu yang menyokong dakwaannya bahawa Muhyiddin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Kata beliau, plaintif juga telah gagal mengenal pasti hak atau kepentingan perundangan umum serta peribadi yang telah dinafikan, atau kerugian peribadi yang dialami susulan nasihat Muhyiddin kepada Agong.
Pada 12 Jan, Agong mengisytiharkan darurat berkaitan Covid-19 yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif bagi mengekang wabak di Malaysia.
Muhyiddin pada hari sama menjelaskan Jemaah Menteri telah menasihati Agong mengisytiharkan darurat bawah Klausa (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.