
Malah, Amirudin mendakwa kerajaan PN berbuat demikian kerana enggan menerima kritikan secara terbuka oleh rakyat dan pembangkang menerusi pelbagai medium termasuk media sosial dan karya seni.
Beliau berkata kebebasan berpendapat adalah penting kerana menandakan kerajaan boleh menerima kritikan terbuka dan bersedia menjadi negara bangsa yang lebih maju serta bertamadun pada masa depan.
“Sekarang di Malaysia mengkritik kerajaan menjadi satu kesalahan dan (ini) perkara menakutkan. Ini berbeza ketika zaman PH memerintah negara ini, kita menolak Akta Antiberita Tidak Benar kerana beranggapan ia akan menghalang kebebasan bersuara dan mungkin akan disalahgunakan serta mengandungi unsur menekan dan membenam kebebasan bersuara.
“Bagaimanapun, sekarang atas alasan mengawal berita tidak benar mengenai penularan penyakit (Covid-19), ingin selamatkan negara dan ingin bebaskan negara daripada wabak, mereka gubal balik undang-undang drakonian yang menekan dan tidak mahu kebebasan bersuara dibuka.
“Malah, institusi penting seperti Parlimen yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dihalang bersidang biarpun difahamkan lebih 85% ahli Dewan Rakyat sudah divaksinasi.
“Jadi saya percaya nada dan watak yang ada dalam negara kita hari ini menuju kegelapan yang harus kita lawan dan terangkan semula. Kita kena ajak dan raikan pandangan semua pihak,” katanya ketika berucap di Program Temu Anwar anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Anwar Ibrahim di sini sebentar tadi.
Pada 11 Mac lalu, media melaporkan kerajaan mewartakan ordinan bagi mengekang berita palsu yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan pengisytiharan darurat. Ini sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita palsu khususnya di media sosial.
Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali. Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Terdahulu, Amirudin memuji tindakan dua selebriti terkemuka tanah air, Afdlin Shauki dan Altimet kerana bukan hanya berani membuat pengakuan secara terbuka bahawa mereka sudah menyertai PKR, malah sanggup berkongsi pentas dengannya dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam program malam ini.