Pindaan Ordinan Darurat khianati sistem demokrasi, kata MP Warisan

Pindaan Ordinan Darurat khianati sistem demokrasi, kata MP Warisan

Pindaan Ordinan Darurat bermakna perdana menteri boleh menambah perbelanjaan kerajaan tanpa kelulusan wakil rakyat.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, kuasa yang diberi kepada perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar merupakan pengkhianatan terhadap sistem demokrasi berparlimen. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini mempunyai kuasa untuk menggunakan wang negara tanpa semak dan imbang selepas meluluskan Seksyen 10a dan Seksyen 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Beliau berkata, kuasa yang diberikan kepada perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar itu merupakan pengkhianatan terhadap sistem demokrasi berparlimen yang termaktub dalam perlembagaan.

“Memperkenalkan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak releven kerana ordinan baharu ini juga menggantung perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan.

“Perdana menteri sepatutnya membenarkan sidang Parlimen agar proses semak imbang dapat dilaksanakan dan menghidupkan demokrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pindaan Ordinan Darurat bermakna Muhyiddin boleh menambah perbelanjaan kerajaan daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa kelulusan wakil rakyat.

Kebiasaannya, penggunaan Kumpulan Wang Disatukan perlu dibentang di Parlimen, manakala di peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Ahmad yang mewakili Warisan berkata, langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu bertentangan dengan perlembagaan dan Akta Darurat kerana membenarkan penggunaan kewangan yang memungkinkan kerajaan membuat keputusan berat sebelah.

Katanya, Ahli Parlimen bukan makan gaji buta, sebaliknya mereka memikul amanah rakyat untuk memantau sistem pentadbiran negara.

“Ini terbukti dalam janji janji manis kerajaan untuk memberi komputer riba kepada pelajar yang tidak kunjung tiba.

“Geran Khas Prihatin juga masih dalam keadaan tidak menentu dan terurus, sekali gus menambah luka rakyat.

“Pembangkang yang pilih oleh rakyat juga sepatutnya berhak untuk bersuara.

“Selaku ahli dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), saya juga mempunyai pengalaman dalam hal ini dan perdana menteri perlu membenarkan Parlimen bersidang, bukannya lari daripada masalah majoriti dalam dewan sekiranya yakin dengan institusi demokrasi yang ada.Tags:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.