Kerajaan mungkin batal sekatan perjalanan, beri kelonggaran kepada penerima 2 dos vaksin

Kerajaan mungkin batal sekatan perjalanan, beri kelonggaran kepada penerima 2 dos vaksin

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ia satu cara untuk meningkatkan jumlah pendaftaran vaksinasi.

Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan vaksinasi Covid-19 di Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Scotland, George Town, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Razak Jaafar.
GEORGE TOWN:
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sekatan perjalanan dan memberi kelonggaran kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bertujuan mendapatkan lebih ramai orang mendaftar untuk vaksin, memandangkan hanya 7.5 juta atau 30% daripada sasaran dicapai setakat ini.

Kerajaan menyasarkan 24.2 juta daripada 33.7 juta populasi divaksinkan menjelang Februari 2022.

“Jika anda sudah menerima dua dos, anda mungkin diberikan sedikit fleksibiliti.

“Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara ini dan data ujian klinikal jika kita boleh melakukannya,” katanya pada sidang media.

Khairy berkata, walaupun lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditubuhkan di seluruh negara, ia akan dilakukan sejajar peningkatan pendaftaran.

Katanya, buat masa ini, kira-kira 100,000 hingga 200,000 orang divaksin setiap minggu, dan menjelang Jun ini, kerajaan menjangkakan sekurang-kurangnya sejuta orang divaksin seminggu.

Beliau berharap sikap “tunggu dan lihat” dalam kalangan mereka yang belum mendaftar akan berubah, apabila fasa kedua program imunisasi bermula 19 April ini untuk warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Terdahulu, Khairy melawat Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Scotland, yang dijadikan pusat vaksinasi.

Katanya, 800 orang divaksin setiap hari di premis itu dalam tempoh lapan jam.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran di daerah timur laut, lokasi terletaknya ibu negeri Pulau Pinang, George Town, masih kurang daripada sasaran. Menjelang fasa kedua, hanya 40,000 warga emas sudah mendaftar berbanding sasaran 100,000 orang.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit lain, Khairy mendedahkan hanya 38,000 orang sudah mendaftar, lebih rendah daripada sasaran 160,000 orang di daerah itu.

Daerah timur laut Pulau Pinang mempunyai 549,769 penduduk, menurut data disediakan KKM.

Daripada jumlah itu, 384,838 (70%) daripada populasi disasarkan untuk divaksin. Pulau Pinang mempunyai 1.75 juta penduduk secara keseluruhan.

Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, berkata 10 PPV akan ditubuhkan di semua lima daerah di negeri itu menjelang fasa kedua.

Sementara itu, mengenai Umno dan pemilihan parti yang dicadangkannya semalam supaya diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15, Khairy berkata, beliau belum memutuskan sama ada mahu mencabar penyandang Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan presiden Umno.

Pada 2018, Khairy bersaing dengan tujuh calon lain untuk jawatan tertinggi itu, termasuk Zahid dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.