Wanita tertua di Malaysia berbakti dengan beri nasihat herba, hidup lebih lama

Wanita tertua di Malaysia berbakti dengan beri nasihat herba, hidup lebih lama

Rahsia usia panjang Annamah Abukutty termasuk berpuasa, mengamalkan meditasi dan memakan herba ditanam sendiri.

Annamah Abukutty menunjukkan sijil Malaysia Book of Records yang mengiktirafnya sebagai wanita tertua di Malaysia. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Tanggal 31 Mac merupakan ulang tahun ke-110 kelahiran Annamah Abukutty, namun usia bukan penghalang untuk wanita tertua di Malaysia itu terus menabur bakti kepada masyarakat.

Dilahir dan dibesarkan di Thachambadi, India, Annamah membawa bersama ilmu serta pengalaman berkaitan herba tradisional India semasa berhijrah ke Malaysia sebelum Perang Dunia II meletus.

Annamah kini menetap di Batu Gajah, Perak bersama keluarganya yang terdiri daripada empat anak, 17 cucu dan tujuh cicit.

Anak lelakinya, M Subramanian, 73, berkata meskipun sudah berusia lanjut dan agak uzur, penduduk kampung berhampiran serta pesakit sering mengunjungi beliau untuk mendapatkan nasihat hidup lebih lama.

Selain perubatan herba, beliau berkata, penduduk kampung sering mendapatkan khidmat ibunya sebagai bidan serta dalam bidang refleksologi dan tatu.

“Dia terkenal dengan panggilan Patti Annamah,” katanya.

Annamah kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan mata kirinya hampir buta, namun beliau masih mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Tamil dan Melayu, malah ingatannya juga masih tajam.

Annamah Abukutty meraikan ulang tahun kelahirannya ke-110 bersama ahli keluarganya di Butterworth hari ini. (Gambar Bernama)

Subramanian berkata, rahsia usia panjang ibunya termasuk berpuasa dan mengamalkan meditasi serta pengambilan herba ditanam sendiri.

Beliau berkata, ibunya amat konsisten dengan rutin itu untuk membersihkan tubuh daripada toksin dan menjaga kesihatan.

“Dia juga berpuasa setiap Isnin bagi membuang toksin dalam tubuh, namun amalan itu dihentikan kira-kira 15 tahun lalu,” katanya.

Cucu Annamah, S Ezhilan yang berusia 41 tahun pula berkata, herba dan perubatan tradisional digunakan neneknya boleh didapati dalam bentuk produk kesihatan di pasaran.

Ezhilan, yang melancarkan cawangan baharu “It’s Super Solution Sdn Bhd” di Jalan Raja Uda di sini, hari ini, mula menjual produk kesihatan boleh dimakan untuk lelaki dan wanita, selain minyak urut.

“Bahan semua produk ini diperbuat daripada herba tradisional yang dikutip sendiri oleh nenek dan ahli keluarga saya.”

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong hadir di cawangan itu untuk menyampaikan sijil rasmi kepada Annamah yang mengiktiraf beliau sebagai wanita tertua di Malaysia.

Wong berkata, majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena ulang tahun ke-110 kelahiran Annamah.

Katanya, sijil sama disampaikan kepada Annamah tahun lepas di ibu pejabat MBOR di Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan beliau kini merupakan rakyat Malaysia tertua yang masih hidup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.