Selepas video protes tular, UIA benarkan pelajar keluar kampus

Selepas video protes tular, UIA benarkan pelajar keluar kampus

Difahamkan, pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus selama beberapa bulan

Pelajar mengadakan perarakan ‘#OpenTheGate’ untuk mendesak UIA membenarkan mereka keluar dan masuk ke kampus di Gombak.
PETALING JAYA:
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) memutuskan untuk membenarkan pelajar keluar dari kampus di Gombak mulai esok.

Ia susulan satu rakaman video yang tular di media sosial semalam mengenai perhimpunan pelajar di kampus Gombak, yang diadakan pelajar tinggal dalam kampus mendesak UIA membenarkan mereka keluar dan masuk ke kampus.

Dalam video itu, pelajar memegang plakad tertera “#OpenTheGate”, dengan satu poster dikeluarkan sebelum perhimpunan itu yang menggesa pelajar lain menyertai mereka untuk berarak bagi meningkatkan “kesedaran mengenai kebebasan kampus”.

Difahamkan, pelajar dilarang keluar dari kampus selama beberapa bulan akibat SOP Covid-19 universiti itu.

Susulan video itu dan rundingan antara kesatuan pelajar serta rektor, UIA hari ini mengeluarkan garis panduan baru.

Walaupun pelajar masih digalakkan terus berada dalam kampus, mereka dibenarkan keluar ke kawasan zon hijau dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Bagaimanapun, pelajar perlu pulang menjelang 10 malam pada hari sama dan tidak dibenarkan bermalam di luar kampus.

Pelajar yang gagal mematuhi peraturan itu akan dikuarantin dan mungkin perlu menjalani ujian saringan dengan kos ditanggung sendiri.

Ketika dihubungi FMT, wakil kesatuan pelajar, Amin Mubarak berkata, ia bukannya bantahan, sebaliknya hanya “rundingan antara pelajar dan timbalan rektor”.

“Ia adalah rundingan damai dan tiada pelajar yang ditahan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.