Bayar bil guna wang palsu, polis buru pesakit hospital swasta

Bayar bil guna wang palsu, polis buru pesakit hospital swasta

Suspek dipercayai membayar bil hospital menggunakan wang palsu dalam not RM100 kepada kakitangan kaunter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pesakit sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang sedang diburu polis kerana disyaki membuat bayaran bil rawatan menggunakan wang palsu semalam.

Pada hari kejadian, suspek dipercayai membayar wang palsu dalam not RM100 kepada kakitangan kaunter, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof dilaporkan berkata, wang palsu itu disedari penyelia sebelum dimaklumkan kepada pihak kewangan, yang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada hari yang sama.

Pihak polis membuat semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di premis hospital terbabit bagi mengenal pasti suspek, kata Wazir.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atas kesalahan menggunakan wang palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.