
Ia susulan penemuan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) yang mendakwa menemui “maklumat mencukupi” bahawa produk tertentu keluaran Top Glove Corp Bhd dihasil menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat.
“Penemuan bukti berhubung buruh paksa hari ini adalah hasil penyelidikan CBP selama sebulan yang bertujuan untuk mencegah produk yang dibuat oleh penghambaan moden memasuki pasaran AS,” kata pesuruhjaya CBP, Troy Miller.
“CBP tidak akan bertolak ansur dengan eksploitasi pekerja asing bertujuan untuk menjual barang yang murah dan tidak beretika kepada pengguna Amerika.”
Susulan pengumuman itu, CBP telah mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan negara itu mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove Corporation Bhd.
Peguam Top Glove di Amerika Syarikat (AS) dalam proses perbincangan dengan wakil Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS untuk mendapatkan penjelasan mengenai larangan import terkini yang dikeluarkan CBP terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.
“Kami berharap dapat menerima maklumat berkaitan dan bekerjasama dengan CBP untuk segera menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Top Glove, Impact iaitu perunding bebas yang dilantik untuk memantau pelaksanaan berterusan “pelan tindakan pembetulan” dan langkah pemulihan lain, tidak menemui bukti “buruh paksa sistemik” setakat 20 Jan lalu.
“Top Glove memahami keprihatinan semua pihak berkepentingan kami, termasuk CBP, untuk memastikan bahawa kerja paksa tidak ada dalam pembuatan sarung tangan dan peralatan pelindung diri. Ini adalah keutamaan bersama syarikat, dan berusaha menyelesaikan masalah dengan segera.
“Oleh itu, syarikat terus melakukan tindakan pembetulan yang meluas untuk memperbaiki lagi amalan kami dan meningkatkan langkah-langkah kawalan dalaman membabitkan pengurusan tenaga kerja kami.
“Kami komited untuk seboleh-bolehnya menjadi syarikat terbaik, memastikan kesejahteraan, kesihatan, keadaan kerja yang selamat, dan tempat tinggal yang berkualiti tinggi untuk tenaga kerja kami,” kata syarikat itu.
Pada Julai tahun lalu, CBP mengeluarkan perintah tersebut berdasarkan isu pekerja paksa dibangkitkan terhadap Top Glove dan anak syarikatnya TG Medical Gloves Sdn Bhd, dan akibatnya menahan pengiriman produk syarikat di pelabuhan masuk.
Berdasarkan laporan itu, “maklumat munasabah tetapi tidak kukuh” menunjukkan pelbagai petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran Top Glove.
Ini termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa keterlaluan, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk serta penahanan dokumen pengenalan diri.
Top Glove mempunyai 60 syarikat dalam kumpulannya dan mengeksport ke lebih dari 195 negara.