
Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata pelaksanaan Undi-18 adalah keputusan Parlimen yang disokong oleh semua pihak dan tiada alasan bagi SPR dan kerajaan menangguhkannya.
Chua berkata alasan SPR memerlukan masa lebih lama untuk membuat persediaan sebelum melaksanakan Undi-18 adalah tidak masuk akal dan sukar diterima.
“Saya anggap tindakan SPR menggunakan alasan darurat adalah satu perbuatan zalim dan menindas hak asasi rakyat Malaysia terutama mereka yang sudah mencapai usia 18 tahun ke atas.
“Justeru, saya berharap SPR jangan mengkhianati mandat (Pindaan Perlembagaan berkaitan undi 18 tahun) diluluskan oleh Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan bersama enam individu lain berhubung pembabitannya dalam perhimpunan Undi-18 di Jalan Parlimen, Sabtu lalu.
Terdahulu, Chua bersama enam individu lain termasuk Ketua Dapsy, Howard Lee dan Setiausaha Agong Parti Muda, Amir Abdul Hadi, memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan kes perhimpunan haram menuntut pelaksanaan Undi-18 di ibu negara, Sabtu lalu.
Turut memberikan keterangan hari ini ialah Adun Ketari, Young Syefura Othman; Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Pemuda PSM, Sharan Raj dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Kehadiran mereka ke balai polis turut diiringi pasukan peguam diketuai oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Mengulas lanjut, Chua berkata isu penangguhan pelaksanaan Undi-18 tidak sepatunya timbul kerana prosesnya amat mudah umpama kerajaan membenarkan individu mengambil lesen motosikal ketika berusia 16 tahun dan kemudiannya lesen memandu kereta apabila berumur 18 tahun ke atas.
“Prosedur sebenar amat ringkas. Penguatkuasaannya hanya memerlukan individu yang mencapai usia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih.
Apabila mencapai umur 18 tahun mereka boleh terus mendaftar untuk menjadi pengundi sama seperti mereka berusia 21 tahun sekarang atau 30 tahun atau 60 tahun.
“Jadi SPR kena jelaskan apakah terdapat perbezaan antara proses mendaftarkan individu cukup umur 18 tahun dan 21 tahun sekarang,” katanya.
Sementara itu, Chua turut memuji sikap profesional ditunjukkan pegawai polis ketika merakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang hari ini.
“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan ini. Bagi saya himpunan ini adalah hak asasi dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.”