
Hamid berkata, siasatan tetap dijalankan bagi memastikan tidak ada VVIP atau sesiapa sahaja melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan.
“Macam-macam isu dia orang kata polis tak ambil tindakan bila VVIP hadir ke majlis kahwin itu, majlis kahwin ini. Letihlah kita orang. Letihlah benda-benda macam ini.
“Saya tahu kalau nak layan dalam media sosial, satu pihak mengatakan begini, biarlah dia nak anjurkan majlis, kalau tak nanti peramu saji tidak ada bisnes, perancang perkahwinan tak ada bisnes, sikit-sikit itu adatlah,” katanya pada sidang media Khas di Bukit Aman.
Semalam, polis akan memanggil penganjur majlis pernikahan selebriti tempatan terkenal, Neelofa, berikutan dakwaan majlis tersebut melanggar SOP Covid-19.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran majlis tersebut.
Hamid turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP supaya apa juga dilakukan selamat.
Mengenai kes perhimpunan menuntut pelaksanaan Undi-18 di ibu negara, Sabtu lalu, Hamid berkata perkara itu dilihat dari aspek perhimpunan haram kerana orang ramai tidak digalakkan keluar beramai-ramai menyertai himpunan seperti itu.
“Tidak lebih dari itu, satu lagi pasal Covid-19 sama ada mereka patuhi SOP Majlis Keselamatan Negara atau tidak, itu saja,” katanya.