Kerajaan akan pertimbang dahulu penerima fasa ke-3 jika pendaftaran fasa ke-2 rendah

Kerajaan akan pertimbang dahulu penerima fasa ke-3 jika pendaftaran fasa ke-2 rendah

Janji temu bagi penerima vaksin dalam fasa kedua akan ditetapkan melalui MySejahtera, panggilan telefon atau pesanan teks mulai 5 April.

Penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menunggu giliran untuk menerima vaksin.
PUTRAJAYA:
Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), golongan berisiko tinggi dan pesakit kronik akan bermula 19 April ini, kata Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menetapkan janji temu bagi penerima vaksin dalam fasa ini menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan pesanan teks bermula 5 April.

“Ini membolehkan kita menghantar notis dua minggu lebih awal kepada penerima, sebelum tarikh sebenar temu janji mereka,” katanya dalam sidang media.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, sehingga kini, dua juta daripada sembilan juta individu yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa kedua sudah mendaftarkan diri.

Katanya, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mendahulukan penerima fasa ketiga, sekiranya kadar pendaftaran kelompok fasa kedua masih rendah.

“Kalau bilangan warga emas, OKU dan pesakit kronik yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 kurang daripada jumlah senarai sebenar dalam kumpulan fasa kedua, maka kerajaan akan pertimbangkan kelompok fasa ketiga untuk terima suntikan vaksin lebih awal.”

Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan belum bercadang memberi suntikan vaksin dari rumah ke rumah kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah, termasuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

“Bayangkan kalau kita ketuk pintu rumah ke rumah, siap dengan picagari dan jarum, ia akan beri mesej yang agak mengerikan, silap-silap orang takut nak buka pintu,” katanya sambil menambah penerimaan vaksin berbentuk sukarela, bukan paksaan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan menyediakan pelbagai saluran untuk menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Kita utamakan kaedah pendaftaran dari rumah ke rumah dan apabila selesai proses itu, mereka akan dikehendaki ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.”

Sehingga semalam, katanya, seramai 7,235,436 atau 30% daripada penduduk di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mendaftar untuk menerima vaksin.

Selain itu, 580,765 dos vaksin sudah diberikan, termasuk lebih 451,655 untuk dos pertama dan 129,110 orang lengkap diberikan dua dos sehingga semalam.

Selangor mencatatkan penerima vaksin teramai dengan 75,317 orang, diikuti Perak (59,305), Sarawak (57,034), Sabah (53,223) dan Kuala Lumpur (50,515).

Daerah paling ramai penerima vaksin adalah Kuala Lumpur; Petaling di Selangor; Kinta di Perak, Kuantan di Pahang dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.