Berdamai lebih baik untuk Kedah, Ramasamy beritahu Sanusi

Berdamai lebih baik untuk Kedah, Ramasamy beritahu Sanusi

Beliau berkata Pulau Pinang sudah membantu Kedah yang berdepan gangguan bekalan air di beberapa kawasan.

PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy memberitahu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor supaya berdamai dengan Pulau Pinang sebagai penyelesaian isu air mentah, bukannya terus memprovokasi negeri itu.

Beliau berkata Pulau Pinang sudah membantu Kedah dengan menghantar kakitangan dan tangki air untuk membantu beberapa kawasan di negeri berkenaan yang kini berdepan gangguan bekalan air.

Katanya, 25 kakitangan dari pihak berkuasa air Pulau Pinang digerakkan di bawah Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60, Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) Askar Wataniah untuk membekalkan air terawat serta pemasangan paip baharu dari 21 Mac hingga 5 April.

“Sangat jelas bahawa meskipun Sanusi bercakap besar untuk menghukum Pulau Pinang dengan ‘air selut’, telah membiarkan rakyat di negerinya menderita susulan kekurangan bekalan air.

“Mengikut logik, susulan bantuan kemanusiaan Pulau Pinang ini, Sanusi seharusnya berhenti memprovokasi Pulau Pinang.

“Malah, beliau sepatutnya memilih untuk berdamai dengan Pulau Pinang.

“Mari kita lihat sama ada musim kemarau di Kedah yang menyebabkan gangguan bekalan air memberi kesedaran kepada Sanusi,” katanya dalam catatan Facebook.

Ramasamy menambah Pulau Pinang mampu membantu Kedah kerana ia mempunyai perkhidmatan bekalan air yang diurus dengan baik.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan bahawa Kedah berhasrat membina 14 tangki di sepanjang Sungai Muda bagi menjimatkan air bagi pengairan padi dan memastikan bekalannya mencukupi sepanjang musim kemarau.

Pulau Pinang bergantung kepada Sungai Muda untuk 80% keperluan airnya dan negeri itu memproses air mentah di Butterworth.

Sanusi turut memberi amaran bahawa Pulau Pinang mungkin akan mengepam “air selut” dari Sungai Muda suatu ketika nanti, jika ia terus enggan membayar pampasan kepada Kedah.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyambut baik rancangan Kedah membina takungan simpanan air di sepanjang Sungai Muda bagi menakung lebihan air hujan untuk digunakan pada musim kemarau.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata asasnya Kedah merancang “takungan hiliran”, berfungsi menakung sejumlah besar air ketika musim tengkujuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.