AS ‘temui’ bukti buruh paksa Top Glove, produk disekat

AS ‘temui’ bukti buruh paksa Top Glove, produk disekat

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata, ia menemui 'bukti kukuh' sesetengah produk Top Glove dihasilkan menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat.

Di bawah langkah terbaru itu, produk daripada semua anak syarikat Top Glove dilarang dieksport ke AS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata, ia menemui “bukti kukuh” sesetengah produk Top Glove Corp Bhd dihasil menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat.

Dalam notis yang dikeluarkan hari ini menerui Daftar Persekutuan AS memaklumkan CBP, dengan kelulusan setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, memutuskan “sarung tangan pakai buang yang dihasilkan atau diperbuat di Malaysia oleh Top Glove Corporation Bhd menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat, serta mungkin diimport ke Amerika Syarikat”.

Katanya, ia kini merampas semua sarung tangan yang memasuki AS atau yang mungkin dieksport ke negara itu pada masa depan.

Pada Julai 2020, CBP mengeluarkan perintah sekatan import ke atas dua anak syarikat Top Glove, pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia, selepas menyatakan ia mempunyai maklumat munasabah, tetapi tidak kukuh untuk menunjukkan ia mengeluarkan produk menggunakan buruh paksa.

Di bawah langkah terbaru itu, produk daripada semua anak syarikatnya dilarang dieksport ke AS.

Top Glove mempunyai 60 syarikat dalam kumpulannya dan mengeksport produknya ke lebih 195 negara.

Sebelum ini, pengeluar sarung tangan itu berkata, ia sedang bekerjasama dengan CBP untuk membatalkan perintah sekatan ke atas anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, susulan dakwaan buruh paksa.

Mengulas pengumuman hari ini, syarikat itu berkata, peguamnya di AS sedang berhubung dengan wakil CBP untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara berkenaan.

Top Glove dalam kenyataan kepada FMT berkata, Impactt yang merupakan perunding bebas diupahnya untuk memantau pelaksanaan berterusan “pelan tindakan pembetulan” dan langkah pemulihan lain, tidak menemui bukti “buruh paksa sistemik” setakat 20 Jan lalu.

Walaupun petunjuk buruh paksa seperti sekatan pergerakan, kerja lebih masa keterlaluan dan menahan gaji tidak lagi berlaku setakat Jan 2021, Impactt berkata, “perkembangan lanjut” sudah dibuat berkaitan petunjuk lain seperti penahanan dokumen pengenalan diri, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk, penipuan, ikatan hutang, keganasan serta intimidasi dari segi fizikal dan seksual.

Sementara itu, pakar bebas hak asasi pekerja asing, Andy Hall berkata, pelabur Top Glove perlu dipertanggungjawabkan atas pengumuman hari ini, seperti pemilik syarikat dan pelabur “yang mendapat keuntungan terbesar” daripada kegagalan memerangi buruh paksa.

Top Glove mencatat lebih banyak keuntungan dalam pendapatan suku tahunan terbaharu yang dikeluarkan awal bulan ini, dengan keuntungannya mencecah RM2.87 bilion pada suku kedua dari Disember hingga Februari, berbanding RM2.4 bilion pada suku pertama.

Permintaan berterusan untuk sarung tangan di peringkat global meningkatkan jualan syarikat itu, dengan keuntungan suku kedua tahun ini naik hampir 25 ganda daripada RM115.7 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia turut mencatatkan pendapatan tertinggi untuk tiga suku tahunan berturut-turut, daripada RM4.8 bilion pada suku pertama, kepada RM5.37 bilion pada suku kedua dan 336% berbanding setahun lalu.

“(Buruh paksa) mencemarkan puluhan bilion sarung tangan yang dihasilkan dan dieksport ke seluruh dunia oleh syarikat ini,” kata Hall.

“Keputusan CBP hari ini patut dijadikan amaran kepada industri sarung tangan getah eksploitatif Malaysia, industri eksport berintensifkan buruh asing lain di Malaysia dan kepada kerajaan Malaysia serta pembeli barangan dari Malaysia, lebih banyak perlu dilakukan untuk memerangi buruh paksa sistemik membabitkan pekerja asing yang tetap menjadi endemik di kilang seluruh negara.”

Notis hari ini juga dijangka menjejaskan rancangan Top Glove disenaraikan dalam Bursa Saham Hong Kong pada Mei atau Jun ini, yang dikatakan akan mengumpul sehingga RM7.7 bilion daripada penerbitan saham baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.