
Perdana menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan ruang polisi domestik Malaysia tidak terhad, khasnya membabitkan aspek kritikal dalam ekonomi negara.
Menurutnya, beberapa jaminan diberikan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam perbincangan sebelum ini, termasuk berkaitan Klausa 72, namun kerajaan berpandangan jaminan itu wajar diperincikan secara bertulis.
“Perjanjian ini belum dimuktamadkan. Ia masih memberi ruang untuk jawab balas dan belum ada jadual tamat jawab balas itu. Jadi, penguatkuasaan itu belum berlaku,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung kebimbangan terhadap perjanjian perdagangan antarabangsa itu yang mungkin menyekat ruang kerajaan melaksanakan dasar tempatan secara bebas.
Mengulas lanjut dasar luar secara keseluruhan, Anwar berkata, hasil rujukan dengan Jabatan Peguam Negara mendapati tiada keperluan meminda undang-undang sedia ada kerana dasar diamalkan ketika ini masih selari Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi, beliau mengakui ada tekanan daripada kuasa besar seperti AS dan China yang menggunakan instrumen perdagangan, teknologi serta keselamatan rantaian makanan sebagai alat diplomasi.
“Bagi mengimbangi pengaruh ini, Malaysia akan memperkukuh kesepakatan dalam Asean dan menggunakan diplomasi lebih bijaksana.”
Lembaga Keamanan Gaza
Anwar berkata, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati terhadap cadangan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza oleh Presiden AS, Donald Trump sambil mempersoalkan kredibiliti ahlinya.
Katanya, wujud bantahan kuat berhubung pembabitan bekas perdana menteri United Kingdom, Tony Blair, yang dilihat tidak telus serta tidak adil dalam menangani isu Palestin dan Gaza berdasarkan penglibatannya dalam perang Iraq.
“Kita menyokong sebarang langkah untuk menjamin kedamaian, namun kita mempunyai pandangan kritikal mengenai penubuhan jawatankuasa ini dan ahli terlibat,” katanya sambil menambah Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan diminta mendapatkan senarai penuh keanggotaan lembaga itu.
Tegasnya, sebarang inisiatif perdamaian tidak akan dianggap munasabah atau adil selagi serangan rejim Zionis ke atas Gaza tidak dihentikan sepenuhnya.
Greenland
Beliau turut menyuarakan sokongan rasmi Malaysia terhadap Denmark dalam menolak cubaan penaklukan Greenland serta desakan tegas supaya Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya dibawa pulang selaras prinsip undang-undang antarabangsa.
Katanya, pendekatan diplomasi Malaysia berdasarkan prinsip ‘kebijaksanaan’ bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara sambil terus memainkan peranan aktif di pentas dunia.