Dakwaan Annuar orang presiden saja boleh bersuara pada PAU tersasar, kata Razlan

Dakwaan Annuar orang presiden saja boleh bersuara pada PAU tersasar, kata Razlan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Razlan Rafii berkata, tidak timbul isu Ahmad Zahid Hamidi menyalah guna kuasa presiden parti dalam menguruskan PAU.

Razlan Rafii berkata, mereka yang dipilih berucap akan membawa mandat negeri masing-masing ke PAU 2020 yang tertakluk kepada pelbagai SOP untuk mengekang penularan Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, “tidak tepat sama sekali” apabila mendakwa hanya perwakilan yang senada dengan presiden parti dibenarkan berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 2020).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, berkata tidak timbul isu Ahmad Zahid Hamidi menyalah guna kuasa presiden parti dalam menguruskan PAU.

“Dakwaan (Annuar) ini tidak tepat sama sekali. Dalam kita memilih jurucakap, ia bukannya (untuk) memilih siapa-siapa yang tertentu.

“Cuma pada kali ini, kita mempunyai agenda yang besar untuk kita tentukan kesepakatan dalam membuat keputusan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata, mereka yang dipilih berucap kali ini akan membawa mandat negeri masing-masing ke perhimpunan agung itu yang tertakluk kepada pelbagai SOP untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kena faham, kita bermesyuarat kali ini hanya satu hari. Bila satu hari, sudah tentunya kita tidak mempunyai banyak masa seperti sebelum ini, iaitu tiga hari. Jadi, ia (PAU 2020) lebih kepada memperlihatkan keputusan negeri. Itu sahaja tiada niat lain.”

Razlan berkata, beliau difahamkan pengerusi badan perhubungan negeri Umno yang akan berucap pada PAU “akan menjadi jurucakap kepada negeri masing-masing”, dan “secara tidak langsung akan membawa mandat setiap negeri”.

Dalam catatan Facebooknya, Annuar mendakwa perwakilan yang sebelum ini dipilih berucap pada PAU 2020, diganti dengan mereka yang dilantik oleh Zahid.

“Usul MKT (untuk meluluskan ucapan dasar presiden) hanya boleh dibahas ahli MKT sahaja. Matlamatnya adalah untuk menyokong (supaya) semua senada,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu.

Annuar dituduh segelintir pemimpin Umno sebagai cenderung kepada PPBM dan Perikatan Nasional. Beliau sebelum ini dipecat sebagai setiausaha agung Barisan Nasional. Annuar menafikan dakwaan itu dan menyifatkan diri setia kepada Umno.

Bekas perdana menteri, Najib Razak sebelum ini menegaskan Zahid tidak menyalah guna kuasanya dalam pemilihan pembahas untuk PAU.

“Itu hak presiden. Hakikatnya presiden ada kuasa untuk menentukan pembahas-pembahas,” kata Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.