
Sumber yang boleh dipercayai memberitahu FMT bahawa sesi libat urus antara Exco dan ADUN pada 29 dan 30 Mac itu tidak akan menggantikan sesi perundangan rasmi, tetapi menyediakan ruang bagi wakil rakyat mendapatkan jawapan daripada Exco negeri.
Sumber berkata, tidak ada speaker yang akan mempengerusikan mesyuarat itu, tetapi ketua menteri dan 10 anggota Exconya akan menjawab pertanyaan daripada 30 ADUN lain mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kawasan pilihan raya mereka.
“Anggota Exco mempunyai masa selama satu jam untuk menjawab lebih 20 soalan daripada ADUN, sama seperti sesi soal jawab pada sidang DUN.
“Ini pada dasarnya adalah cara yang baik untuk wakil rakyat mengemukakan masalah kepada eksekutif,” kata sumber itu.
Sesi libat urus itu tidak akan diadakan di DUN di Dewan Sri Pinang dan tertakluk kepada SOP Covid-19, kata sumber itu.
“Sekiranya konvensyen DAP dengan kira 2,000 perwakilan boleh diadakan, maka sekumpulan kecil 40 wakil rakyat tidak seharusnya menjadi masalah,” kata sumber itu.
Bagaimanapun anggota pembangkang di DUN nampaknya tidak bersetuju.
“Selagi Ordinan Darurat masih berkuat kuasa, persidangan dewan harus mematuhi pengumuman kerajaan persekutuan,” kata ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mewakili PPBM.
“Situasi Covid-19 masih membimbangkan. Daripada memberi keutamaan kepada politik, semua langkah harus diambil untuk mengekang penyebaran virus,” katanya.
Mesyuarat yang dirancang sah dari segi undang-undang
Profesor undang-undang Gurdial Singh Nijar berkata, mesyuarat seperti itu jelas sah dari segi undang-undang kerana ia hanya pertemuan antara anggota Exco negeri dengan ADUN.
Beliau berkata, mereka bebas untuk berkumpul selagi tidak hadir secara rasmi sebagai sidang DUN.

“Sidang DUN boleh meluluskan undang-undang, resolusi dan membuat pelbagai keputusan. Perhimpunan ini hanya dialog atau forum. Mereka harus menamakannya sebagi sesi dialog antara Exco dengan ADUN. Ia jelas sah dari segi undang-undang, ” katanya.
Persidangan DUN Pulau Pinang yang dijadualkan bulan depan dibatalkan susulan perintah darurat sekarang, yang hanya akan berakhir pada Ogos.
Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan oleh kerajaan pusat sejak 11 Jan melarang sidang Parlimen atau DUN.
Dalam teks ringkas kepada FMT, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengesahkan mesyuarat itu bulan depan.
Sementara itu, speaker Law Choo Kiang, berkata, badan perundangan negeri sentiasa “bersiap siap” untuk bersidang, dengan mematuhi SOP Covid-19 yang ketat.

“Apabila ada lampu hijau daripada pihak berkuasa, kami sedia mengadakan persidangan. Mudah-mudahan, kita dapat melakukannya secepat mungkin, ”kata Law.
ADUN PKR Machang Bubok, Lee Khai Loon berkata, walaupun sesi libat urus minggu depan merupakan langkah yang baik, namun beliau percaya persidangan DUN adalah lebih sesuai.
“DUN adalah cabang perundangan yang penting untuk semak dan imbang bagi memastikan eksekutif bertanggung jawab dan telus dalam membuat apa-apa keputusan dasar ,” katanya.
Sidang terakhir DUN Pulau Pinang adalah pada 12 Oktober selama enam hari.
PH, yang terdiri daripada DAP dan PKR, mempunyai status majoriti besar kerusi daripada 40 ahli dewan.
DAP mempunyai 19 kerusi, PKR 11, dan Amanah, dua. Pembangkang mempunyai tujuh ahli, iaitu empat PPBM, dua Umno, dan satu PAS.