Jangan tekan rakyat hanya untuk bayar bonus pegawai bank, kata Nik Nazmi

Jangan tekan rakyat hanya untuk bayar bonus pegawai bank, kata Nik Nazmi

Keupayaan bank membayar insentif seperti bonus merupakan bukti pemberian moratorium tidak memberi kesan ke atas perniagaan.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan bank tempatan supaya terus prihatin dan tidak menekan jutaan rakyat hanya untuk memperoleh pendapatan tambahan untuk membiayai bonus tinggi beberapa orang terpilih.

Nik Nazmi dalam kenyataan berkata, tidak salah untuk syarikat, termasuk bank berkaitan kerajaan memberi penghargaan dan insentif atas usaha keras pekerjanya ketika menghadapi masalah ekonomi dan krisis.

Namun katanya, timbul persoalan sama ada langkah itu berkait langsung dengan prestasi bank pada masa kini.

“Memang benar kebanyakan mereka (bank) memperoleh keuntungan yang sihat. Cuma, kita juga tidak boleh lupa bahawa sektor perbankan Malaysia amat terkawal.

“Meraih keuntungan adalah hal asas untuk menilai keberjayaan sesebuah syarikat, termasuklah bank.

“Jadi, apakah yang mereka lakukan untuk mendapat keuntungan yang luar biasa ini?” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, bank tempatan berjaya mengekalkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila tetap mencatatkan keuntungan di sebalik cabaran operasi disebabkan oleh wabak Covid-19 sejak tahun lalu.

Dua daripada bank terbesar tempatan, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Kumpulan Public Bank semalam masing-masing melaporkan keuntungan bersih RM6.48 bilion dan RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020, meskipun prestasi kedua-duanya lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata, keupayaan bank membayar insentif seperti bonus merupakan bukti empirikal bahawa pemberian moratorium pinjaman semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 2020 tidak memberi kesan ke atas perniagaan dijalankan bank tempatan ini.

“Malah, moratorium ini juga dapat membantu mengawal pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Oleh itu, sangat aneh bank dan kerajaan, terutama Kementerian Kewangan, berkeras bahawa moratorium pinjaman menyeluruh seharusnya ditamatkan.

“Mengapa perlu berakhir sekiranya mereka masih dapat membayar bonus ini?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.