SPM 2020 berjaya dilaksana walau berdepan pandemik Covid-19

SPM 2020 berjaya dilaksana walau berdepan pandemik Covid-19

SPM 2020 yang bermula pada 22 Feb 2021 tamat hari ini, menyaksikan Sains Komputer sebagai kertas terakhir.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata perkara itu adalah kejayaan besar bagi KPM kerana mereka telah melalui satu proses yang amat sukar. (Gambar Bernama)
BANTING:
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang tamat hari ini dengan lancar, teratur dan dalam keadaan selamat walaupun dibelenggu pandemik Covid-19, hasil komitmen serta dedikasi seluruh warganya.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata perkara itu adalah kejayaan besar bagi KPM kerana mereka telah melalui satu proses yang amat sukar.

“Di luar sana mungkin nampak perjalanannya agak teratur dan baik tetapi proses yang dilalui di belakang, terdapatnya pelbagai penelitian yang dibuat.

Saya secara peribadi amat bersyukur dan seluruh KPM merasakan ini adalah satu kejayaan kita dalam menghadapi keadaan yang cukup sukar,” katanya kepada pemberita di sini selepas Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Changgang, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau mengumumkan tarikh peperiksaan SPM yang dijadualkan semula untuk 2,969 calon atau 0.74 peratus dari keseluruhan calon SPM 2020, yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu adalah dari 6 April hingga 23 April.

Beliau berkata 2,969 calon itu adalah mereka yang tidak dapat hadir kerana dikuarantin atau atas sebab-sebab kesihatan, dengan rekod kesihatan yang ada.

“Namun begitu data ini adalah setakat 3 Mac untuk kertas teras dan kita sedang mengumpulkan data-data untuk kertas elektif yang lain dan kita akan mendapat data tersebut selepas tamatnya peperiksaan hari ini,” katanya.

Dalam pada masa yang sama juga, beliau turut mengumumkan bahawa pemeriksaan kertas SPM yang sedang berjalan ketika ini, buat pertama kalinya dalam sejarah diperiksa sepenuhnya secara dalam talian kecuali kertas Pendidikan Seni Visual.

“Pemarkahan ini dilakukan dengan semua skrip (jawapan) peperiksaan itu diimbas secara berpusat dan kemudiannya guru-guru pemeriksa ini akan mendapat akses kepada skrip itu secara dalam talian,” katanya.

Radzi berkata kaedah permarkahan itu akan mempercepatkan lagi proses pemeriksaan kertas serta mengambil kira kekangan yang ada dengan guru-guru tidak dapat bertemu dan sebagainya.

Pada masa yang sama beliau berkata keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan pada masa yang sesuai, bagi membolehkan para calon mempunyai ruang yang cukup untuk memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

SPM 2020 yang bermula pada 22 Feb 2021 tamat hari ini, menyaksikan Sains Komputer sebagai kertas terakhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.