
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, dalam kejadian 11.42 malam, anggota berusia 29 tahun itu terkena tembakan selepas peluru di dalam pistol dikatakan meletup secara tiba-tiba.
“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika anggota terbabit selesai dalam tugas Ronda Cegah Jenayah dan mahu menyerahkan senjata api jenis pistol separuh automatik.
“Ketika proses keselamatan mengosongkan senjata, secara tiba-tiba anggota yang berada di kaunter hadapan terdengar satu letupan kuat berhampiran. Anggota di bahagian hadapan bergegas ke belakang dan melihat mangsa sudah berlumuran darah pada bahagian paha kiri disyaki tertembak diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Shafien berkata, siasatan awal mendapati semasa anggota itu sedang mengeluarkan kelopak peluru dari pistol, secara tiba-tiba satu das tembakan dilepaskan secara tidak sengaja dan peluru menembusi paha anggota terbabit.
Beliau berkata, anggota berkenaan kini stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu untuk melihat sama ada ia satu kecuaian atau sebaliknya.