Konstabel maut dilanggar pemandu mabuk

Konstabel maut dilanggar pemandu mabuk

Anggota polis bertugas di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban, itu cedera parah di kepala.

garisan polis
Seorang konstabel polis berusia 23 tahun meninggal dunia ketika dirawat di HTJ, Seremban, setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Temiang awal pagi tadi.
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki bawah pengaruh alkohol berhampiran SK Temiang di Seremban awal pagi tadi.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian 1.01 pagi itu, konstabel berusia 23 tahun yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell itu cedera parah di kepala.

Beliau disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) kira-kira sejam kemudian, menurut Mohamad Hatta.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang bertugas itu menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Temiang sebelum dilanggar Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah bertentangan yang hilang kawalan lalu memasuki laluan mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Mohamad Hatta berkata, pemandu Perodua Bezza yang cedera ringan dalam kejadian itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol, dengan sampel darahnya telah diambil untuk diuji Jabatan Kimia.

Lelaki itu direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau hadir ke balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.