
Pua, yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP, berkata walaupun mendapat kritikan daripada pembangkang dan masyarakat awam, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional tidak mahu mendedahkan syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs, yang dianggap tidak memuaskan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, penyelesaian itu terikat dengan klausa kerahsiaan, kata Pua.
Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata timbul kebimbangan bahawa penyelesaian itu tidak setelus sebagaimana digambarkan, dan peguam yang terlibat dibayar dengan lumayan.
Beliau berkata, timbul juga dakwaan bahawa terdapat komisen yang dibayar kepada PPBM.
Kata Pua, Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan tersebut, dan menggambarkannya sebagai “fitnah” dan “pembunuhan karakter” terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Beliau menegaskan PPBM ditubuhkan untuk memperjuangkan integriti dan pemerintahan yang telus. Jika ia benar-benar mengenai pemerintahan yang telus, mengapa kerajaan Muhyiddin bersembunyi di sebalik kerahsiaan?” soal Pua.
Beliau berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah memastikan setiap perincian berkenaan kontrak dan perjanjian, terutamanya bayaran bagi projek mega, didedahkan buat penelitian umum.
Dalam penyelesaian Julai lalu, Goldman Sachs membayar kerajaan USD2.5 bilion dan memberi jaminan pemulangan sekurang-kurangnya USD1.4 bilion yang dirampas sebagai sebahagian daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.
Semalam, peguam 1MDB Rosli Dahlan membuat laporan polis terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam dan ADUN Kuang Sallehuddin Amiruddin berhubung dakwaan terhadapnya berkait kes 1MDB dan penyelesaian Goldman Sachs.
Dalam laporan yang dilihat FMT, Rosli berkata, adalah tidak benar beliau dilantik untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam kes 1MDB, sedangkan beliau dilantik oleh dan bertindak bagi pihak 1MDB.
Beliau menafikan dakwaan kerajaan melantiknya bagi rundingan penyelesaian dengan Goldman Sachs, berbanding menggunakan khidmat Jabatan Peguam Negara.
Hakikatnya Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak bagi pihak kerajaan, kata beliau.
Rosli juga menyifatkan dakwaan bahawa beliau dibayar yuran guaman sebanyak RM1.7 bilion hasil penyelesaian kes Goldman Sachs bernilai hampir RM17 bilion sebagai “fitnah jahat”.
Kata Pua, Muhyiddin harus menjelaskan segala keraguan yang timbul berkenaan hal ini.
“Walaupun kerajaan beliau mungkin telah menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan Goldman Sachs berkenaan penyelesaian itu, yuran yang dibayar oleh 1MDB kepada ahli profesionalnya tidak dilindungi di bawah NDA dan boleh didedahkn kepada rakyat Malaysia,” kata beliau.