
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata polis perlu mempertingkat penyertaan anggota serta pegawainya dalam latihan, kursus atau persidangan yang dianjurkan bukan hanya di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa bagi memperoleh pendedahan dan perkongsian lebih global dan terkini.
“Kolaborasi dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang dijalinkan oleh polis selama ini mampu meletakkan pasukan keselamatan negara ini sebaris dengan pasukan keselamatan dari negara luar seperti Scotland Yard, Royal Military Police United Kingdom dan Hong Kong Police Force,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena sambutan Hari Polis ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Panglima Angkatan Tentera Jen Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Perdana menteri berkata, bagi membina pasukan penguatkuasaan undang-undang yang kukuh dan utuh, penerapan nilai disiplin dan integriti perlu dititikberatkan dalam pembinaan sahsiah anggota polis.
Selain itu katanya, untuk meningkatkan prestasi pasukan, semua anggota harus mempunyai sifat rasa keterpunyaan kepada pasukan dan tanggungjawab tinggi pada amanah yang digalas.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam usia yang menjangkau 214 tahun, polis berjaya mengadaptasi dengan cemerlang melalui beberapa siri transformasi dan pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan mengikut peredaran zaman.
Bagaimanapun beliau percaya masih wujud ruang pemerkasaan yang luas untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan dalam memikul amanah.
“Berbekalkan niat ikhlas dan kerjasama berpasukan yang jitu, saya yakin dan percaya keupayaan pasukan polis dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara akan dapat terus dipertingkatkan serta nama baik pasukan akan kekal harum dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan untuk meningkatkan keupayaan pasukan itu, meskipun melibatkan kos tambahan serta akan menimbangkan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkannya.
Sebagai contoh Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) bagi yang sedang bertugas atau sudah bersara dalam berdepan situasi ekonomi mencabar ketika ini.
Beliau berkata, pemberian imbuhan itu akan dimanfaatkan lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan polis bagi membanteras apa juga usaha dan tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.
Jelasnya, dalam menjaga keamanan negara, bebanan berkenaan tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu pasukan keselamatan seperti polis semata-mata.